Lt Jen Datuk Mardzuki Muhammad dan Mej Jen Datuk Dzulkafli Mustaffa meninjau program pemberian dos penggalak vaksin Covid-19 di Kem Muara Tuang. FOTO IHSAN PR MARKAS 1 DIV
Lt Jen Datuk Mardzuki Muhammad dan Mej Jen Datuk Dzulkafli Mustaffa meninjau program pemberian dos penggalak vaksin Covid-19 di Kem Muara Tuang. FOTO IHSAN PR MARKAS 1 DIV
Mohd Roji Kawi


Kuching: Seramai 4,547 anggota Tentera Darat Malaysia (TDM), kakitangan awam Kementerian Pertahanan (Mindef) serta keluarga menerima dos penggalak vaksin Covid-19 di lima pusat pemberian vaksin (PPV) di Sarawak.

Daripada jumlah itu, seramai 1,149 menerima dos tambahan pelalian itu di PPV Kem Muara Tuang, PPV Kem Pakit Sri Aman (299), PPV Kem Similajau di Bintulu (266), PPV Kem Oya, Sibu (2,078) dan PPV Kem Sri Miri (755).

Panglima 1 Divisyen Infantri Mejar Jeneral Datuk Dzulkafli Mustaffa berkata, program suntikan dos penggalak fasa pertama itu dilaksanakan secara pandu lalu di semua PPV tentera di Sarawak bermula hari ini.

Beliau berkata, program berkenaan dijangka selesai sepenuhnya pada 16 November ini.

"Ketika ini kita melaksanakan pemberian dos vaksin penggalak kepada anggota, kakitangan awam serta keluarga masing-masing yang berada di kem.

"Bagi anggota yang sedang terbabit dalam operasi terutama tugasan di sempadan, pasukan 'Combat Medic Vaccination Team' (CMVT) akan dihantar ke sana bagi melaksanakan program berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program suntikan dos penggalak vaksin Covid-19 pandu lalu di Kem Muara Tuang, Samarahan di sini hari ini.

Turut hadir menyaksikan program berkenaan Panglima Medan Timur TDM Leftenan Jeneral Datuk Mardzuki Muhammad dan Panglima 3 Briged Brigediar Jeneral Mohd Kamil Abdul Latiff.

Program pemberian dos penggalak yang bermula 13 Oktober lalu dilaksanakan bagi meningkatkan tahap imunisasi yang mungkin menurun dalam tempoh tertentu selepas mendapat dos lengkap dan bertujuan memastikan tempoh perlindungan yang optima diperolehi oleh penerima vaksin Covid-19.

Menurut Dzulkafli lagi, menerusi inisiatif Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), pemberian dos penggalak kepada anggota di barisan hadapan terutama anggota TDM yang bertugas bersama-sama agensi kesihatan dan keselamatan amat diperlukan terutamanya bagi anggota yang bertugas di persempadanan Sarawak dan Kalimantan Barat.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 November 2021 @ 1:15 PM