Suasana damai menjadi tarikan pelancong berkunjung ke Kampung Sayap yang terletak kira-kira 29 km dari Pekan Kota Belud.
Suasana damai menjadi tarikan pelancong berkunjung ke Kampung Sayap yang terletak kira-kira 29 km dari Pekan Kota Belud.
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Lembaga Pelancongan Sabah (STB) mengambil langkah proaktif mempromosikan negeri ini dalam usaha memulihkan aktiviti pelancongannya melalui Pameran Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta).

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Datuk Joniston Bangkuai berkata, pameran Matta yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur bermula 20 November ini akan dijadikan medan promosi pelancongan Sabah secara lebih agresif.

Katanya, aktiviti promosi secara fizikal yang pertama selepas hampir dua tahun pandemik Covid-19 melanda negara itu disertai 20 syarikat pelancongan, pusat peranginan dan pengendali selam skuba dari Sabah, kebanyakannya mewakili persatuan pelancongan dari Sandakan.

Beliau turut menyifatkan usaha Matta menganjurkan pameran pelancongan secara fizikal itu sebagai langkah positif ke arah merancakkan semula sektor pelancongan yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 sejak awal tahun lalu.

"Kita amat berbesar hati kerana Sabah dipilih oleh Matta sebagai Destinasi Kegemaran Malaysia. Pada bulan ini saja sebanyak 56 penerbangan mingguan Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) dan 98 penerbangan mingguan AirAsia ke Sabah membawa kapasiti penuh penumpang.

"Ini menunjukkan orang ramai kini mempunyai keyakinan untuk melancong semula. Hotel dan tempat menarik di negeri ini sudah sedia untuk menerima pelawat termasuk yang datang dari luar Sabah," katanya pada sidang media secara maya mengenai Pameran Matta 2021 yang turut disertai Presiden Matta Datuk Tan Kok Liang, hari ini.

Sementara itu, Joniston yang juga Pengerusi STB berkata, pelancaran kempen #MansauSabahBoostku baru-baru ini mendapat sambutan yang menggalakkan dengan semua baucar ditebus sepenuhnya dalam masa kurang daripada 15 jam.

Dengan kerjasama penyedia perkhidmatan e-wallet Malaysia, kempen itu berhasrat untuk menggiatkan semula sektor pelancongan Sabah dan industri berkaitan.

STB membuka pavilion di Dewan 4, WTC dengan 12 gerai pameran iaitu pavilion negeri terbesar pada Pameran Matta kali ini yang akan berlangsung selama dua hari.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 November 2021 @ 5:52 PM