Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sentiasa bersiap siaga dalam mendepani musim Monsun Timur Laut terutamanya di kawasan pantai seluruh negara.

Timbalan Ketua Pengarah JBPM, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin berkata, pihaknya akan terus memantau fenomena air pasang besar di perairan beberapa negeri.

"Air pasang besar ini akan menyebabkan ombak setinggi dua hingga empat meter dan orang ramai harus berhati-hati jika membawa keluarga ke lokasi yang berisiko.

"Anggota bomba mengambil inisiatif membuat rondaan berkala ke kawasan pantai atau jeram yang menjadi tumpuan terutama di hujung minggu.

"Kita akan sentiasa meningkatkan langkah-langkah kesiapsiagaan untuk keselamatan pengunjung yang datang beriadah ke kawasan tumpuan ramai," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas pelancaran Kesiapsiagaan Monsun Timur Laut di Pantai Batu 8, Teluk Kemang, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah JBPM Negeri Sembilan, Hamdan Ali dan Pengarah Bahagian Penyiasatan Kebakaran JBPM, Ahmad Izram Osman.

Menurutnya, pihaknya juga menyediakan alat menyelamat sebagai langkah awal sekiranya berlaku kecemasan kepada pengunjung di pantai.

Katanya, sebagai contoh, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Telok Kemang menyediakan peralatan keselamatan atau Life Saving Appliances (LiSA) yang diletakkan di kawasan strategik.

"Orang ramai boleh menggunakan LiSA sebagai langkah awal untuk menyelamat mangsa yang lemas sementara menunggu bantuan sampai.

"Sebanyak 27 LiSA dipasang seluruh negara terutama di kawasan pantai dan jeram yang menjadi tumpuan orang ramai," katanya.

Katanya, pada masa sama, rondaan udara juga dilakukan di pedalaman terutama kawasan berisiko menggunakan helikopter.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 November 2021 @ 3:01 PM
JBPM membuat demonstrasi menyelamat mangsa lemas sebagai persediaan bermula musim Monsun Timur Laut pada program Pelancaran Kesiapsiagaan Monsun Timur Laut di Pantai Batu 8, Teluk Kemang. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
JBPM membuat demonstrasi menyelamat mangsa lemas sebagai persediaan bermula musim Monsun Timur Laut pada program Pelancaran Kesiapsiagaan Monsun Timur Laut di Pantai Batu 8, Teluk Kemang. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN