MURID yang hadir diminta mengimbas kod QR dan mengambil bacaan suhu badan sebelum masuk ke kelas di Sekolah Kebangsaan (SK) Angkatan Tentera Johor Bahru, Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan
MURID yang hadir diminta mengimbas kod QR dan mengambil bacaan suhu badan sebelum masuk ke kelas di Sekolah Kebangsaan (SK) Angkatan Tentera Johor Bahru, Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pengoperasian institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) di Perlis, Perak, Pulau Pinang, Sabah dan Kedah mengikut ketetapan pengoperasian Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) akan bermula pada 21 dan 22 November.

Di Kedah, pengoperasian itu bermula pada 21 November manakala Perak, Perlis, Pulau Pinang dan Sabah pula pada 22 November.

KPM dalam kenyataan hari ini memaklumkan pengoperasian itu melibatkan kehadiran murid tahun 1 hingga tahun 6 di sekolah rendah serta kelas peralihan dan Tingkatan 1 hingga Tingkatan 4 di sekolah menengah.

"Institusi pendidikan bawah KPM ini turut merujuk kepada institusi pendidikan swasta berdaftar di bawah KPM bagi kategori sekolah dan kategori pusat.

"KPM menyarankan agar ketetapan ini turut terpakai di semua institusi pendidikan tidak berdaftar dengan KPM, termasuk institusi pendidikan di bawah kerajaan negeri," menurut kenyataan itu.

Pada 5 November lalu, Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengumumkan lima negeri iaitu Perlis, Perak, Pulau Pinang, Sabah dan Kedah beralih daripada Fasa Tiga ke Fasa Empat PPN berkuat kuasa hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 November 2021 @ 9:03 PM