FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Perkembangan teknologi canggih termasuk media sosial dilihat mendorong kepada trend peningkatan kes penipuan dalam talian sebanyak 60 peratus dalam tempoh 10 tahun lalu.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, di sebalik kemudahan itu, terdapat segelintir individu tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan dengan melakukan jenayah penipuan termasuk secara dalam talian.

Katanya, sindiket penipuan dalam talian juga dilihat semakin kreatif menjalankan pelbagai modus operandi untuk menjerat mangsa hingga mereka mengalami kerugian ratusan ribu ringgit.

"Saya mengambil statistik daripada jumlah kes direkodkan bagi penipuan pembelian dalam talian pada 2019 yang merekodkan sebanyak 2,512 kes membabitkan kerugian RM28 juta.

"Jumlah itu meningkat kepada 5,846 kes pada tahun lalu dengan kerugian RM41 juta dan semakin meningkat bagi tempoh Januari hingga Oktober lalu iaitu 8,997 kes membabitkan kerugian RM58 juta.

"Jumlah ini hanya membabitkan penipuan pembelian dalam talian dan tidak termasuk lagi jenayah lain seperti 'Parcel Scam', 'Love Scam' serta 'Macau Scam'," katanya pada sidang media selepas melancarkan Kempen Pencegahan Jenayah Komersial (Jenayah Dalam Talian) 2021, di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mazlan Lazim dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Mohd Kamarudin Md Din.

Acryl berkata, ada ramai individu yang menjadi mangsa sindiket penipuan mengalami kerugian kecil namun tidak tampil membuat laporan polis.

"Ada individu di luar sana yang menjadi mangsa sindiket penipuan namun tidak membuat laporan polis kerana merasakan jumlah kerugian dialami adalah kecil.

"Maklumat dari laporan polis yang dibuat dalam setiap kes adalah penting untuk mengemas kini data laman semakmule bagi mengenal pasti sama ada akaun bank berkenaan tulen atau tidak.

"Justeru, setiap mangsa penipuan perlu tampil membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan," katanya.

Sementara itu, Mohd Kamarudin berkata, jenayah penipuan dalam talian merekodkan peningkatan ketara apabila mencatatkan 17,537 kes membabitkan RM449.5 juta bagi tempoh Januari hingga Oktober lalu.

"Jumlah itu meningkat berbanding jumlah kes direkodkan sebanyak 17,111 kes membabitkan kerugian RM510 juta sepanjang tahun lalu.

"Melihat kepada peningkatan ketara itu, kami melaksanakan inisiatif dengan melancarkan kempen ini bagi memberi pendedahan kepada masyarakat berkaitan penipuan dalam talian.

"Jabatan ini turut mendapatkan kerjasama 30 influencer (personaliti media sosial) untuk mempromosikan kempen ini melalui platform media sosial masing-masing," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 November 2021 @ 5:02 PM