Lebuhraya Pan Borneo yang masih dalam pembinaan di Batu 32 dan dijangka siap pada tahun 2024. FOTO Bernama
Lebuhraya Pan Borneo yang masih dalam pembinaan di Batu 32 dan dijangka siap pada tahun 2024. FOTO Bernama
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Kerajaan memperuntukkan peningkatan perbelanjaan pembangunan (DE) bagi Sabah dan Sarawak yang diterapkan dalam Bajet 2022.

Sebanyak RM5.16 bilion iaitu peningkatan RM104 juta berbanding 2021, diperuntukkan untuk Sabah, manakala RM4.67 bilion (peningkatan RM158 juta berbanding 2021) diperuntukkan bagi Sarawak.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan hari ini menegaskan bahawa perangkaan Bajet 2022 amat menitikberatkan pembangunan dan kesejahteraan kesemua rakyat, tanpa mengira negeri atau kaum, berdasarkan keperluan masing-masing agar semua rakyat bakal membangun dan mengecapi kemakmuran terutama sekali apabila negara kini berada di ambang pemulihan dan perkembangan ekonomi.

Katanya, jumlah peruntukan DE Sabah dan Sarawak bagi 2022 lebih 20 peratus daripada jumlah peruntukan DE untuk kesemua negeri.

"Perbelanjaan DE ini termasuk peruntukan sebanyak RM2 bilion bagi Projek Lebuhraya Pan Borneo iaitu meneruskan pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo Sabah daripada Sindumin ke Rampayan Laut dan Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak daripada Semantan ke Jalan Pujut Link.

"Selain peruntukan DE ini, kerajaan juga menyediakan peruntukan dari segi pemberian atau pembayaran Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak.

"Untuk 2021, ia berjumlah RM1.13 bilion dan RM1.24 bilion masing-masing dan ini diunjurkan akan meningkat bagi 2022.

"Sabah dan Sarawak kekal sebagai dua negeri penerima pemberian atau pembayaran Kerajaan Persekutuan terbesar dengan jumlah kedua-duanya lebih 30 peratus daripada jumlah pemberian kepada kesemua kerajaan negeri," katanya.

MOF turut menyatakan, pada 2021 bantuan tunai bernilai RM1.31 bilion memanfaatkan 864,000 warga Sabah sementara RM1.49 bilion memanfaatkan 987,000 warga Sarawak.

Sehubungan itu, bantuan tunai yang diterima rakyat di Sabah dan Sarawak melebihi 20 peratus daripada jumlah pemberian bantuan tunai.

Selain itu, melalui Bajet 2022, antara peruntukan khusus bagi kepada Sabah dan Sarawak termasuk menaik taraf sekolah daif membabitkan peruntukan sebanyak RM746 juta dan daripada jumlah 330 projek sebanyak 112 projek di Sabah dan 165 projek di Sarawak.

"Ini termasuk perluasan perlindungan Perkeso kepada sembilan kategori baharu iaitu artis, penjaja, perikanan, pertanian, sektor pelancongan, OKU, Orang asli, Orang asal Sabah Sarawak dan penyelia dan petugas pemulihan dalam komuniti.

"Peruntukan DE sebanyak RM1.5 billion daripada jumlah keseluruhan RM2.5 billion untuk pembangunan infrastruktur luar bandar turut diperuntukkan kepada Sabah dan Sarawak selain menambah lapan pos kawalan Pasukan Gerakan Am antaranya di Pagalungan, Sabah dan Temong Mura, Sarawak membabitkan peruntukan sebanyak RM2.2 juta.

"Setakat ini, rakyat Sabah dan Sarawak juga telah memanfaatkan pelbagai bantuan lain seperti bantuan tunai, program subsidi upah, serta pelbagai program pekerjaan seperti carian pekerjaan, latihan dan peningkatan kemahiran, yang juga akan diteruskan di bawah Bajet 2022," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 November 2021 @ 12:07 PM