GAMBAR hiasan. FOTO Hairul Anuar Rahim
GAMBAR hiasan. FOTO Hairul Anuar Rahim
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Jumlah kes baharu Covid-19 mencatatkan penurunan dengan 4,343 kes dilaporkan hari ini, terendah dalam tempoh enam bulan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, data terbaharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes di Malaysia setakat ini mencecah 2,506,309 kes.

"Daripada 4,343 kes harian yang dilaporkan, 68 kes (1.6 peratus) adalah kategori 3, 4, dan 5 manakala 4,275 kes (98.4 peratus) adalah daripada kategori 1 dan 2.

"Sebanyak sembilan kes import turut dilaporkan hari ini membabitkan enam warganegara dan tiga kes bukan warganegara," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 5,190 kes sembuh direkodkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes sembuh adalah 2,412,395 kes atau 96.3 peratus.

"KKM turut mencatatkan 554 kes yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) yang mana daripada jumlah itu 518 kes disahkan Covid-19 dan 36 kes adalah kes dalam siasatan.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 272 kes memerlukan bantuan pernafasan yang mana mana 212 kes disahkan Covid-19 dan 60 kes adalah kes dalam siasatan," katanya.

Menurutnya, KKM turut mengenal pasti tujuh kluster baharu menjadikan sebanyak 5,806 kluster dilaporkan setakat ini dengan 325 kluster masih aktif.

"Maklumat terperinci akan dimuatnaik ke laman web http://covidnow.moh.gov.my dengan data setiap hari dikemaskini selepas tengah malam.

"Orang ramai termasuk individu yang telah menerima vaksin Covid-19 supaya terus mematuhi saranan serta nasihat kesihatan yang sering ditekankan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 November 2021 @ 7:16 PM