GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Penganjuran majlis perkahwinan dan upacara potong jambul atau bercukur mencetuskan kluster baharu Covid-19 jangkitan dalam komuniti di negeri ini, hari ini.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, kluster baharu yang berlaku di Kampung Karanaan, Ranau itu dikesan selepas seorang penduduk yang juga kakitangan awam didapati positif Covid-19.

"Penularan virus yang menjangkiti 52 penduduk kampung setakat ini dipercayai berpunca daripada perkumpulan orang ramai dalam satu majlis perkahwinan dan dua upacara potong jambul yang turut dihadiri saudara-mara dari luar daerah," katanya dalam kenyataan, di sini.

Berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi Sabah ketika ini, aktiviti sosial masih dilarang.

Ia termasuk kenduri-kendara, sambutan perayaan, meraikan pernikahan atau pertunangan, perkahwinan, resepsi, majlis aqiqah, doa selamat, tahlil, sambutan ulang tahun, hari kelahiran dan 'reunion'.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri berkata, kluster baharu itu menjadi peringatan kepada orang ramai agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sepanjang masa.

Katanya, pematuhan SOP penting apabila Sabah akan beralih ke Fasa 4 PPN mulai esok dengan pelbagai sekatan terhadap majlis sosial dan aktiviti ekonomi akan dilonggarkan.

"Kesannya ialah risiko jangkitan virus di tempat awam dan acara sosial akan semakin tinggi. Rakyat tidak boleh lalai mematuhi semua SOP. Kelonggaran ini meletakkan tanggungjawab 'frontliners' di bahu rakyat sendiri untuk mengekang penularan virus Covid-19," katanya.

Sementara itu, Sabah mencatat 405 kes baharu Covid-19 hari ini menurun sebanyak 164 kes berbanding 569 kes, semalam iaitu antara yang terendah sejak beberapa bulan lalu.

"Kecuali daerah Kota Kinabalu yang mencatat 52 kes baharu, jumlah kes harian di semua daerah di Sabah pada hari ini adalah di bawah angka 50.

"Sebanyak 11 daerah mencatat kes baharu kurang daripada 10 kes, manakala tiga daerah iaitu Kunak, Tongod dan Kalabakan tidak mencatat sebarang jangkitan baharu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 November 2021 @ 4:57 PM