Baharom Bakar


Kuala Nerus: Kerajaan sedang berusaha untuk menaikkan gred jawatan Pembantu Hal Ehwal Islam yang ditugaskan di pelbagai jabatan dan agensi kerajaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad berkata, terdapat seramai 2,124 pemegang jawatan itu yang diberi tanggungjawab melaksanakan pelbagai program keagamaan.

Katanya, setakat ini tangga gaji mereka berada antara Gred 19 serta Gred 29.

"Kita dalam usaha untuk menaikkan tangga gaji jawatan diseliakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu kepada Gred 41 dan 44," katanya ketika menyampaikan ucapan penangguhan sempena Muktamar Tahunan PAS ke-67 sesi 2021/2023, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Idris yang mengekalkan jawatan sebagai Naib Presiden PAS meminta pengusaha pusat tahfiz, sekolah agama rakyat dan institusi pondok berdaftar dengan kerajaan bagi membolehkan penyaluran bantuan dibuat.

Katanya, kerajaan bersetuju memindahkan peruntukan daripada infrastruktur kepada operasi.

"Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM100 juta untuk inisiatif pendidikan bagi kerja penyelenggaraan sekolah tahfiz, sekolah agama rakyat dan institusi pondok.

"Sehingga Ogos lalu, kerajaan membelanjakan sebanyak RM60 juta untuk membantu 1,066 institusi pendidikan Islam, termasuk sekolah agama, institusi tahfiz dan pondok bagi tujuan penambahbaikan dan kerja menaik taraf.

"Peruntukan bagi kerja penyelenggaraan kepada institusi pendidikan Islam sudah disalurkan, tetapi masih berbaki sebanyak RM40 juta," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 November 2021 @ 2:27 PM
PERWAKILAN PAS mendengar ucapan pergulungan dari barisan kepimpinan PAS  pada Muktamar Tahunan PAS kali ke-67 di Duyong Marina & Resort. FOTO Ghazali Kori
PERWAKILAN PAS mendengar ucapan pergulungan dari barisan kepimpinan PAS pada Muktamar Tahunan PAS kali ke-67 di Duyong Marina & Resort. FOTO Ghazali Kori