ANGGOTA JSPT Kuala Lumpur menjalankan Operasi Samseng Jalanan, Motosikal dan Pelbagai Kesalahan di sekitar ibu kota, sejak Jumaat hingga awal pagi tadi. FOTO ihsan polis
ANGGOTA JSPT Kuala Lumpur menjalankan Operasi Samseng Jalanan, Motosikal dan Pelbagai Kesalahan di sekitar ibu kota, sejak Jumaat hingga awal pagi tadi. FOTO ihsan polis
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Pemandu kereta mewah jenis Bentley antara 18 individu yang ditahan dalam Operasi Samseng Jalanan, Motosikal dan Pelbagai Kesalahan di sekitar ibu kota, sejak Jumaat hingga awal pagi tadi.

Pemeriksaan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur mendapati kenderaan dipandunya mempamerkan cukai jalan dan nombor pendaftaran palsu.

Timbalan Ketua JSPT Kuala Lumpur Superintendan Zulkafli Chek Lah berkata, lelaki berusia 23 tahun itu ditahan di Jalan Walter Granier pada Jumaat.

"Kenderaan diperiksa kerana cukai jalan dan nombor pendaftaran tidak sama. Hasil dokumentasi mendapati kenderaan diluluskan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ke nombor pendaftaran baru tetapi cukai jalan masih yang lama.

"Dia ditahan mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 dan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, operasi bermula jam 9 malam hingga 4 pagi tadi turut menahan seorang penunggang motosikal lelaki berusia 21 tahun atas kesalahan sama.

"Dalam operasi pelbagai pula, polis menahan 12 lelaki berusia 22 hingga 54 tahun mengikut Seksyen 45(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol.

"Operasi dijalankan di sekitar pusat bandar, Jalan Tun Razak, Jalan Pahang, Jalan Raja Laut, Jalan Kuching dan Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) membabitkan kekuatan 10 pegawai dan 89 anggota," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi Operasi Samseng Jalanan, Zulkafli berkata, pihaknya menahan empat lelaki yang menunggang dalam keadaan merbahaya dan melakukan aksi zig-zag, roket, superman serta bersaing.

Beliau berkata, mereka berusia 19 hingga 21 tahun itu dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur untuk siasatan lanjut dan akan dituduh mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Secara keseluruhan sebanyak 371 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dan 10 motosikal disita mengikut Seksyen 64 akta sama kerana mengubahsuai ekzos.

"Motosikal yang disita akan diambil tindakan dan pemeriksaan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta diarahkan mengubah ke struktur asal," katanya.

Katanya, operasi berterusan akan dijalankan pada setiap hujung minggu bagi mencegah dan membanteras sepenuhnya aktiviti samseng jalanan serta menjaga keselamatan pengguna jalan raya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 November 2021 @ 11:27 AM