NABIL bersama Surina kini mampu meraih purata pendapatan RM30,000 sebulan. FOTO BERNAMA
NABIL bersama Surina kini mampu meraih purata pendapatan RM30,000 sebulan. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Sepang: Sayang kerana terpaksa membuang begitu sahaja lambakan cendawan sebelum ini mencetuskan idea kepada pasangan suami isteri yang mengusahakan tanaman cendawan di Kampung Jenderam Hulu di sini untuk menghasilkan pekasam cendawan bagi tujuan mengelakkan pembaziran.

Bagi Nabil Sanusi dan Surina Saad, penghasilan pekasam cendawan sejak tahun lalu berasaskan resipi pekasam ikan yang diwarisi daripada ibu bapa mereka, memberi nilai tambah kepada perusahaan cendawan mereka Nas Agro Farm yang sebelum ini hanya tertumpu pada penjualan cendawan segar sahaja.

"Kalau musim hujan sebelum ini, kami akan susah hati kerana cendawan terhasil dengan banyak, khususnya cendawan tiram sehingga melebihi daripada tempahan yang diterima. Tempahan pekasam cendawan akan penuh ketika cendawan banyak terhasil pada musim hujan," kata Surina.

Surina yang merupakan bekas akauntan di syarikat pengeluar kereta nasional negara berkata, pekasam cendawan yang dihasilkan menggunakan cendawan tiram, dijual pada harga RM10 bagi setiap pek 250 gram (g).

TEMPAHAN pekasam cendawan akan penuh ketika cendawan banyak terhasil pada musim hujan. FOTO BERNAMA
TEMPAHAN pekasam cendawan akan penuh ketika cendawan banyak terhasil pada musim hujan. FOTO BERNAMA

"Kita siapkan berdasarkan jumlah tempahan. Rata-rata pelanggan mengetahui melalui media sosial Facebook dan Instagram Nas Agro Farm," katanya.

Dibantu lima pekerja, Nabil berkata, Nas Agro Farm berkeupayaan menghasilkan 1,000 bongkah cendawan sehari dengan setiap bongkah boleh digunakan dalam tempoh tiga atau empat bulan sebelum diganti dengan bongkah baharu.

Nas Agro Farm mampu menghasilkan 100 kilogram (kg) atau tiga tan cendawan tiram setahun dan kini merupakan pembekal kepada tiga cawangan pasaraya terkenal dengan purata pendapatan RM30,000 sebulan.

NAS Agro Farm berkeupayaan menghasilkan 1,000 bongkah cendawan sehari. FOTO BERNAMA
NAS Agro Farm berkeupayaan menghasilkan 1,000 bongkah cendawan sehari. FOTO BERNAMA

Nabil berkata, cendawan tiram dijual pada harga RM12 sekilo itu perlu ditempah dua hari sebelum mengambil tempahan bagi memudahkan proses pengasingan tempahan mengikut pelanggan dan jumlah tempahan.

Selain cendawan tiram, pasangan suami isteri itu turut menanam cendawan susu harimau yang mempunyai khasiat merawat masalah paru-paru dan sistem pernafasan, malah disenaraikan sebagai bahan aktif untuk perubatan tradisi di bawah Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) pada 2010.

NAS Agro Farm turut menanam cendawan susu harimau yang mempunyai khasiat merawat masalah paru-paru dan sistem pernafasan. FOTO BERNAMA
NAS Agro Farm turut menanam cendawan susu harimau yang mempunyai khasiat merawat masalah paru-paru dan sistem pernafasan. FOTO BERNAMA

Mereka turut menanam cendawan telinga kera dan cendawan Lingzhi di tujuh rumah cendawan yang terdapat di Nas Agro Farm sejak 2007.

Pasangan berkelulusan Ijazah Perakaunan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang berusia 50 tahun itu pernah mengikuti kursus penanaman cendawan di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Nabil berkata, perusahaan cendawan mereka tidak akan berjaya tanpa sokongan daripada kerajaan melalui agensi seperti Jabatan Pertanian.

"Setiap tiga tahun, kami akan menerima bantuan peralatan penanaman cendawan dalam anggaran harga kira-kira RM20,000," katanya yang turut melahirkan hasrat untuk berkongsi ilmu penanaman cendawan bersama mereka yang ingin memulakan perniagaan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 November 2021 @ 6:45 AM