Nurul Amanina Suhaini

Johor Bahru: Pasangan suami isteri antara 46 individu tempatan ditahan menerusi Op Sarang Khas Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang dijalankan di PPR Larkin dan Sri Stulang di sini, hari ini.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, operasi yang bermula 1 tengah hari hingga 6 petang itu membawa kepada penahanan kesemua individu dipercayai penagih dadah berusia antara 30 tahun hingga 70 tahun.

Menurutnya, operasi itu membabitkan seramai 23 pegawai dan 106 anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan.

"Operasi khas itu dijalankan bagi mengambil tindakan terhadap penagih dadah tegar, selain membasmi 'port' penagihan di kawasan perumahan ini.

"Selain itu, ia juga bertujuan mengambil tindakan undang-undang mengikut Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) dan Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Di Johor, terdapat 13 PPR di lapan daerah, operasi seumpama ini akan dibuat secara berterusan bagi membanteras sarang penagih sekali gus menurunkan kadar jenayah membabitkan penyalahgunaan dadah," katanya ketika sidang media di PPR Larkin hari ini.

Ayob Khan melihat sebahagian individu yang diperiksa dalam Op Sarang Khas PPR di PPR Larkin, Johor Bahru hari ini. Foto Nurul Amanina Suhaini
Ayob Khan melihat sebahagian individu yang diperiksa dalam Op Sarang Khas PPR di PPR Larkin, Johor Bahru hari ini. Foto Nurul Amanina Suhaini

Beliau berkata, kesemua yang ditahan itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan bagi menjalani ujian saringan air kencing.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya menahan seorang lelaki warga Bangladesh berusia 29 tahun semalam selepas dipercayai mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman di TikTok dalam serbuan di Jalan Kempas Batu 7 1/2, Jalan Bakri, Muar pada 7.30 malam.

Katanya, susulan kenyataan individu itu berhubung agama Hindu, Muslim dan perayaan Deepavali, sepasukan polis dari IPD Muar menahannya pada hari yang sama.

"Tindakan itu boleh mendatangkan kegusaran dan mengganggu gugat keamanan awam, selain hasil siasatan mendapati permitnya tamat tempoh dan dia tinggal lebih masa di negara ini.

"Suspek direman selama 14 hari bermula hari ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 November 2021 @ 7:55 PM