MUHYIDDIN bersama barisan kepimpinan tertinggi Perikatan Nasional (PN), bergambar bersama calon PRN Melaka ketika majlis pengumuman calon Perikatan Nasional di Hotel Glenmarie, Shah Alam. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
MUHYIDDIN bersama barisan kepimpinan tertinggi Perikatan Nasional (PN), bergambar bersama calon PRN Melaka ketika majlis pengumuman calon Perikatan Nasional di Hotel Glenmarie, Shah Alam. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Mohd Iskandar Ibrahim dan Mohd Nasaruddin Parzi

Shah Alam: Pertandingan sekurang-kurangnya tiga penjuru bakal disaksikan di hampir semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, selepas Perikatan Nasional (PN) mengesahkan meletak calonnya di semua 28 kerusi DUN.

Terdahulu, pagi tadi, Barisan Nasional (BN) mengumumkan meletak calonnya di semua kerusi DUN itu, manakala sebelah petang, PH pula mengumumkan mengambil pendekatan sama.

Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yasin ketika mengumumkan senarai calon mewakili pakatan itu berkata, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan bertanding di 15 kerusi DUN, diikuti lapan kerusi diwakili calon PAS dan lima oleh Gerakan.

"Dari segi latar belakang calon, 43 peratus berusia 40 tahun ke bawah dan sebahagian besarnya adalah golongan profesional dan berpendidikan tinggi. Dari segi komitmen untuk berkhidmat sepenuhnya demi kepentingan dan kebajikan rakyat, 100 peratus!" katanya ketika berucap pada majlis pengumuman calon PN di sini, hari ini.

Hadir sama, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mengikuti secara maya serta Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau dan Pengerusi PN Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen.

Mengulas lanjut Muhyiddin berkata, selaras prinsip demokrasi, menjadi tanggungjawab parti politik untuk menyertai pilihan raya serta kesedaran untuk menawarkan kepimpinan bersih dan berintegriti kepada rakyat Melaka.

"PN sudah melakukan persiapan menghadapi pilihan raya ini termasuklah menyelesaikan perundingan kerusi dengan parti-parti komponen dan mengenal pasti calon-calon yang berkelayakan untuk bertanding.

"Parti-parti komponen PN yang akan mengambil bahagian dalam PRN iaitu Bersatu, PAS dan Gerakan sudah mencapai kata sepakat mengenai pembahagian kerusi dan senarai calon bertanding, dalam Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi PN yang diadakan semalam," katanya.

Menurutnya, rekod kerajaan PN mentadbir negara boleh dijadikan rujukan utama oleh pengundi Melaka dan pihaknya sedia melaksanakan apa jua perkara yang boleh membantu rakyat menghadapi waktu yang paling sukar dalam hidup mereka.

"Saya tidak berniat untuk mendabik dada, tetapi lihatlah kejayaan yang kita capai hari ini dalam pengurusan pandemik dan bantuan untuk rakyat hasil daripada usaha dilakukan kerajaan PN. Inilah buku rekod kita yang akan kita bentangkan kepada rakyat Melaka sebagai panduan untuk mereka membuat pilihan yang terbaik," katanya.

Beliau juga menzahirkan keyakinan, berdasarkan kajian dan pemerhatiannya sendiri ketika turun ke negeri Melaka dengan pengundi negeri itu akan memberikan sokongan yang luar biasa kepada PN dalam PRN akan datang.

"Kita tidak menjanjikan bulan dan bintang kepada rakyat. Tetapi kita mempunyai komitmen yang tinggi apabila diberikan mandat oleh rakyat, kita mesti melakukan yang terbaik.

"We will deliver to the best of our ability and we will ensure that no one will be left behind' (Kami akan berikan yang terbaik yang mampu kami lakukan dan kami akan memastikan tiada siapa yang tertinggal)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 November 2021 @ 7:39 PM