GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Mohd Roji Kawi


Kuching: Pas Sarawak sedang melakukan penelitian rapi untuk meletakkan calon di 11 kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12).

Setiausaha Badan Perhubungan Pas Negeri Sarawak, Mohammad Arifiriazul Paijo bagaimanapun berkata, keputusan muktamad untuk meletakkan calon di kawasan terbabit akan dibincangkan dengan lebih lanjut bersama pimpinan Pas Pusat.

Menurutnya, Pas Sarawak kini melakukan persediaan sebaiknya di beberapa Dun terbabit untuk menghadapi PRN-12 Sarawak.

"Saya ingin menegaskan bahawa jumlah kerusi Dun yang akan ditandingi Pas Sarawak masih dalam penelitian rapi dan segala ketetapan akan dibincangkan bersama kepimpinan Pas Pusat.

"Segala pendekatan yang diambil dalam menghadapi PRN-12 Sarawak akan diambil dengan penuh cermat bagi natijah yang terbaik buat rakyat Sarawak," katanya dalam kenyataan hari ini.

Berikutan itu, Pas akan mencabar Gabungan Parti Sarawak (GPS) di 11 kawasan terbabit.

Kerusi Dun yang sedang diteliti akan ditandingi Pas pada PRN-12 ialah Samariang, Pantai Damai, Muara Tuang, Sadong Jaya, Sebuyau, Beting Maro, Kakus, Jepak, Lambir, Pujut dan Samalaju.

Ia adalah kerusi sama yang ditandingi pada PRN-11 lima tahun lalu yang menyaksikan Pas Sarawak gagal meraih sebarang kemenangan.

Pada PRN-10 iaitu pada tahun 2011, Pas bertanding di lima kerusi Dun iaitu Tanjong Datu, Muara Tuang, Sadong Jaya, Sebuyau dan Beting Maro.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 November 2021 @ 2:40 PM