DATUK Sebastian Ting. FOTO Arkib NSTP
DATUK Sebastian Ting. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Miri: Tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) akan mempertahankan kerusi masing-masing dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12, kata Setiausaha Agungnya Datuk Sebastian Ting hari ini.

Beliau berkata SUPP akan menghantar nama tujuh ADUN itu kepada Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dalam masa terdekat.

"SUPP telah membuat keputusan kesemua tujuh penyandang, ADUN yang memenangi PRN Sarawak ke-11 akan dinamakan sebagai calon untuk pilihan raya kali ini," katanya kepada pemberita selepas sidang media prapelancaran Batik Linut di sini, hari ini.

Selain Ting yang akan bertanding DUN di Piasau, enam ADUN lain ialah Presiden SUPP Datuk Seri Dr Sim Kui Hian (Batu Kawa), Naib Presiden Datuk Seri Lee Kim Shin (Senadin), Datuk Ding Kuong Hiing (Meradong) dan Datuk Seri Huang Tiong Sii (Repok), Datuk Francis Harden Hollis (Simanggang) dan Lo Khere Chiang (Batu Kitang).

GPS merangkumi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), SUPP serta Parti Demokratik Progresif (PDP). Pada 24 Oktober lalu, Setiausaha Agung gabungan itu, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata GPS akan bertanding di semua 82 kawasan PRN Sarawak.

Mengulas lanjut, Ting berkata pada PRN Sarawak yang lepas, SUPP diberikan 20 kerusi dan beliau berharap pada pilihan raya kali ini juga mereka mendapat pengagihan kerusi yang sama seperti sebelum ini.

"Semua jentera parti telah bersedia. Kami akan belajar daripada PRN Melaka kerana mereka akan menjadi yang pertama melaksanakan pilihan raya dalam keadaan norma baharu seperti yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa tiada aktiviti berkumpul seperti kelaziman apabila berkempen.

"Saya percaya PRN Melaka akan menjadi garis panduan buat semua parti yang bertanding dalam PRN Sarawak," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai tindakan PAS Sarawak yang mengesahkan akan bertanding di 11 kerusi DUN pada PRN Sarawak kali ini, Ting berkata buat masa ini hingga ke hari penamaan calon pelbagai perkara boleh berlaku.

"Untuk PRN Sarawak ke-12 ini, banyak cerita yang sedang kita dengar… apa-apa pun kita hanya boleh tahu kesahihan perkara itu apabila tiba hari penamaan calon nanti," tambahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 November 2021 @ 1:45 PM