DATUK Seri Dr Adham Baba (kiri) menyampaikan bantuan peralatan inovasi R&D tempatan kepada Mohd Alif Saadon (kanan) di Pasar Awam Bandar Tenggara. FOTO OMAR AHMAD
DATUK Seri Dr Adham Baba (kiri) menyampaikan bantuan peralatan inovasi R&D tempatan kepada Mohd Alif Saadon (kanan) di Pasar Awam Bandar Tenggara. FOTO OMAR AHMAD
Omar Ahmad


Kota Tinggi: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mensasarkan 1,000 perintis inovasi yang akan mendapat manfaat pada tahun hadapan di bawah Program Pembangunan Inovasi Sosial oleh Yayasan Inovasi Malaysia (YIM).

Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, sejak ditubuhkan pada 2008 hingga kini, seramai 5,000 perintis inovasi telah mendapat manfaat dari dana pembangunan produk tempatan dan pembangunan kapasiti yang bernilai RM15 juta.

Katanya, ia membabitkan program Mainstreaming Grassroots Innovation (MaGRIS), Malaysia Social Innovation (MySI) dan High-Impact Programme 6 (HIP6).

"YIM adalah program di bawah MOSTI yang mana ia membabitkan inovasi sosial oleh mana-mana pereka akar umbi dari kalangan B40 yang ingin melaksanakan inovasi mereka.

"Mereka perlu mengemukakan dokumen dan penilaian akan dibuat mengikut keperluan semasa. MOSTI sentiasa komited memperkasa inovasi sosial menerusi teknologi inovasi tempatan. Dengan program seumpama ini ia menggalakkan perintis inovasi tempatan untuk mereka cipta teknologi dan tidak hanya menjadi pengguna teknologi luar negara.

"Inovasi tempatan ini dapat memartabatkan ekonomi B40 dan meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat, selain menjimatkan masa dan tenaga," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada selepas menyampaikan bantuan peralatan inovasi penyelidikan dan pembangunan (R&D) tempatan untuk pemprosesan kelapa dan santan kepada pengusaha santan, Mohd Alif Saadon, 34, di Pasar Awam Bandar Tenggara, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Adham memaklumkan YIM akan membuka dua lagi fasiliti ruang reka di Bandar Tenggara, Kota Tinggi, Johor pada akhir bulan ini dan Bera, Pahang pada akhir tahun ini.

Katanya dua lagi ruang reka telah dibuka di Kuala Terengganu dan Paroi Negeri Sembilan yang beroperasi pada April lalu.

"Reka cipta adalah satu keadaan di mana YIM mengemukakan satu kaedah bagaimana pengalaman tidak ada direkodkan oleh sekolah atau universiti, tetapi kita kaitkan dengan sains dan teknologi.

"Mereka di luar bandar atau sektor awam yang mempunyai inovasi atau perkara yang boleh dikaitkan dengan sains dan teknologi boleh datang ke ruang reka, dan sekiranya ada nilai komersial kita akan bangunkan produk mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 November 2021 @ 11:08 AM