MOHD Firdaus Ahmad (dua dari kiri) merasmikan Mesyuarat Agung Kali Pertama PSMDL di Kompleks Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Langkawi. FOTO Hamzah Osman
MOHD Firdaus Ahmad (dua dari kiri) merasmikan Mesyuarat Agung Kali Pertama PSMDL di Kompleks Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Langkawi. FOTO Hamzah Osman
Hamzah Osman


Langkawi: Kerajaan negeri bersedia mengetengahkan aktiviti menembak sebagai produk pelancongan baharu di pulau ini bagi menarik pelancong luar dan dalam negara yang menggemari sukan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd Firdaus Ahmad berkata, sudah tiba masa pulau legenda itu diperkenalkan sebagai destinasi aktiviti menembak dan infrastruktur dan kemudahan berkaitan perlu ditingkatkan.

"Pulau ini memiliki infrastruktur baik termasuk Lapang Sasar Menembak Antarabangsa Langkawi (LISRAM) yang pernah digunakan pada kejohanan menembak antarabangsa termasuk Sukan Komanwel 1998.

"Selain itu, Persatuan Sukan Menembak Daerah Langkawi (PSMDL) ditubuhkan dan diyakini mampu merealisasikan hasrat itu," katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Kali Pertama PSMDL di Kompleks Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, di sini, petang semalam.

Hadir sama, Pegawai Daerah Langkawi, Saiful Anwar Azmi dan Presiden PSMDL, Datuk Hamid Bulat.

Mohd Firdaus berkata, cadangan itu dilihat mampu memenuhi keperluan sebahagian pelancong yang memiliki pelbagai latar belakang termasuk bekas anggota pasukan keselamatan yang mahir menggunakan senjata.

"Kita kena faham, pelancong tempatan dan asing yang datang ke pulau ini mempunyai pelbagai latar belakang termasuk bekas anggota tentera dan penyediaan tempat menembak baik pasti memberi tarikan kepada mereka.

"PSMDL boleh berfikir di luar kotak dengan mencontohi Thailand yang mengambil kesempatan daripada pelancong menerusi penyediaan tempat khas untuk mereka melakukan aktiviti menembak, pada masa sama memberi sumber pendapatan," katanya.

Sebagai rekod, LISRAM dibina di atas tanah seluas lebih 202 hektar dengan harga RM80 juta dan siap pada 1997 serta pernah menjadi gelanggang beberapa kejohanan menembak antarabangsa termasuk Sukan Komanwel 1998.

Sementara itu, ketika mengulas Gelembung Pelancongan Antarabangsa bagi Projek Rintis Pulau Langkawi yang bakal dibuka mulai 15 November ini, beliau berkata, semua pihak bekerja keras untuk merealisasikan projek negara itu.

"Kerajaan negeri sudah mengadakan perbincangan dengan beberapa pihak termasuk syarikat penerbangan, agensi kerajaan dan swasta sebagai persediaan untuk menerima pelancong antarabangsa.

"Sebaik selesao semua perbincangan dan keputusan telah dimuktamadkan termasuk prosedur operasi standard (SOP) baharu jika ada kita akan umumkan kepada orang ramai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 November 2021 @ 12:48 PM