Tinjaun mendapati Kit ujian kendiri Covid-19 sudah dijual serendah RM6.90 sehingga RM19.90 disebuah fatmasi di Jalan Silang. FOTO FATHIL ASRI
Tinjaun mendapati Kit ujian kendiri Covid-19 sudah dijual serendah RM6.90 sehingga RM19.90 disebuah fatmasi di Jalan Silang. FOTO FATHIL ASRI
Nurul Hidayah Bahaudin


Kajang: Penjualan kit ujian kendiri Covid-19 di pasar raya, rangkaian kedai serbaneka dan stesen minyak tertentu sejak awal minggu ini mendapat sambutan mengalakkan daripada orang ramai.

Pekerja di sebuah kedai serbaneka di daerah ini, Danial Syazwan Musa, 24, berkata, premis itu mula menjual kit ujian berkenaan sejak awal minggu ini pada harga RM6.50 seunit.

"Pada mulanya, sambutan itu tidak begitu mengalakkan kerana ramai orang masih tidak tahu kedai serbaneka ada menjual kit ini.

"Namun dalam tempoh beberapa hari kemudian, jualan kit ujian ini semakin meningkat dengan purata penjualannya lebih 60 kit setiap hari," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Danial berkata, setiap pelanggan yang mahu membeli kit ujian berkenaan perlu mengisi borang yang disediakan sebagai rekod pembelian.

"Mereka yang membeli kit ini diminta untuk mengisi maklumat nama, nombor kad pengenalan, nombor telefon, kuantiti serta tandatangan.

"Melihat kepada trend pembelian ketika ini, penjualan kit berkenaan dijangka akan lebih meningkat," katanya.

Seorang lagi pekerja kedai serbaneka di bandar ini, Felycia Jool, 35, berkata, ramai pelanggan yang datang ke premis berkenaan mencari kit ujian itu.

"Kami mendapat bekalan bagi kit berkenaan sebanyak 10 unit sahaja yang dijual dengan harga RM6.60 seunit pada Sabtu lalu dan kesemuanya habis dijual pada hari sama.

"Boleh katakan hari-hari ada yang datang mencari kit itu, namun ketika ini, kami masih lagi menunggu bekalan kit berkenaan yang dijangka sampai esok," katanya.

Sementara itu, pembeli kit ujian berkenaan, Shahrol Anuar Mohamed, 33, berkata, penurunan harga kit ujian itu amat meringankan beban rakyat terutama golongan berpendapatan rendah.

"Sebelum ini, saya beli pada harga RM19 seunit. Dengan harga baru kini iaitu sekitar RM6.90 seunit pastinya meringankan beban kami yang berpendapatan rendah kerana dapat beli dengan kuantiti banyak.

"Kerja sebagai pemandu lori memerlukan saya sentiasa melakukan ujian kendiri memandangkan terdedah dengan risiko jangkitan ketika berada di luar.

"Dengan harga murah ini, saya boleh beli kit itu dengan banyak dan menggunakannya lebih kerap bagi mengelakkan jangkitan dalam kalangan ahli keluarga," katanya.

Terdahulu, kerajaan mengumumkan kit ujian kendiri Covid-19 boleh didapati pada harga serendah RM6.90 seunit di pasar raya, rangkaian kedai serbaneka dan stesen minyak tertentu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memaklumkan langkah itu sebagai perluasan penjualan kit ujian kendiri itu secara berperingkat termasuk di pasar raya, rangkaian kedai serbaneka dan stesen minyak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 November 2021 @ 3:30 PM