GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Amir Mamat


Melaka: Teka-teki sama ada Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh akan bertanding di satu daripada lima kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) dalam Parlimen Masjid Tanah, akan terjawab Sabtu ini.

Selain itu, kedudukan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali sama ada mempertahankan kerusi Dun Lendu, juga akan dirungkai, apabila Barisan Nasional (BN) membuat pengumuman rasmi senarai calon mewakili parti itu pada sebelah petang, hari berkenaan.

Setiausaha Umno negeri, Datuk Muatafa Musa berkata, pengumuman itu dijadual dibuat Timbalan Pengerusi BN merangkap Pengarah Jentera BN bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Datuk Seri Mohamad Hasan.

"Bagaimanapun, lokasi pengumuman berkenaan masih dibincangkan, sama ada akan dibuat di World Trade Center (WTC) Kuala Lumpur atau di Bilik Gerakan BN negeri di Ayer Keroh.

"Ia susulan pelaksanaan Prosedur Operasi Standart (SOP) yang ketat oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) terhadap apa juga aktiviti membabitkan perhimpunan ramai," katanya ketika dihubungi.

BN akan meletakkan calon di semua 28 kerusi Dun pada PRN Melaka selepas Pas mengumumkan untuk menggunakan logo Perikatan Nasional (PN), sekali gus bergabung bersama Bersatu dan Gerakan dalam pilihan raya berkenaan.

Ab Rauf yang juga Pengerusi BN negeri menjadi tumpuan pada PRN ini selepas spekulasi yang bertiup kencang menyatakan beliau bakal dilantik sebagai Ketua Menteri baharu jika BN berjaya memenangi pilihan raya ini.

Bagaimanapun, terdapat maklumat tidak rasmi menyebut, bekas Setiausaha Kerja Umno itu tidak akan bertanding di kerusi Dun, sebaliknya akan mencuba nasib merebut kerusi Parlimen Masjid Tanah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), BN yang pada ketika itu dianggotai Umno, MCA, MIC dan Gerakan memenangi 13 daripada 28 kerusi yang dipertandingkan, sekali gus membolehkan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih tampuk pemerintahan negeri.

PRN Melaka terpaksa diadakan selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) menarik sokongan terhadap kepemimpinan Sulaiman, sekali gus menyaksikan kerajaan negeri yang diterajui BN tumbang.

Empat Adun itu ialah Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 8 November sebagai hari penamaan calon, diikuti 16 November (pengundi awal) dan 20 November pula sebagai hari mengundi.

Sementara itu, PH dijangka akan mengumumkan senarai calon bertanding, selewat-lewatnya Ahad ini.

Pengerusi Dap negeri, Datuk Tey Kok Kiew, berkata PH yang menggabungkan Dap, PKR dan Amanah itu sudah diperingkat akhir pemilihan calon dan akan diumumkan menjelang hari penamaan calon, Isnin ini.

"Pada kebiasaannya, setiap parti komponen PH akan mengumumkan calon masing-masing terlebih dahulu sebelum ke majlis memperkenalkan calon di bawah nama PH. Sebarang perubahan mengenainya akan dimaklumkan kelak," katanya ketika dihubungi.

Manakala, PN yang dianggotai Bersatu, Gerakan dan Pas dijangka membuat pengumuman rasmi senarai calon bertanding, Jumaat ini.

Pengumuman oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu dijangka diadakan di Bilik Gerakan PN negeri di Tanjung Minyak, di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 November 2021 @ 3:11 PM