Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar, Datuk Rizam Ismail (kanan) ketika menziarahi Rosilawati Sha'ari di rumah sewanya di Taman Damai sebelum dia disahkan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL), hari ini. FOTO IHSAN FB DATUK RIZAM ISMAIL
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar, Datuk Rizam Ismail (kanan) ketika menziarahi Rosilawati Sha'ari di rumah sewanya di Taman Damai sebelum dia disahkan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL), hari ini. FOTO IHSAN FB DATUK RIZAM ISMAIL
Amirul Aiman Hamsuddin


Sabak Bernam: Wanita yang menghidap kanser sarcoma yang kisahnya disiarkan portal Harian Metro pada 2 Mei 2019, meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL), hari ini.

Rosilawati Sha'ari, 55, disahkan meninggal dunia pada 6 pagi apabila gagal dikejutkan daripada tidur oleh anaknya, Nurul Najwa Kamal, 16.

Nurul Najwa berkata, dia yang tidur satu wad bersama ibunya terdahulu bangun pada 5.40 pagi untuk memandikan arwah.

"Saya kejutkan mak dari tidur, tetapi tiada respon. Kemudian, saya memanggil jururawat untuk melihat keadaan mak.

"Doktor yang memeriksa mak mengesahkan mak sudah tiada.

"Jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Gatal, Panchang Bedena selepas solat Asar," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sebelum ini, portal Harian Metro melaporkan paha arwah yang disangka bengkak biasa pada hujung September 2018, membesar sekali gus menjejaskan aktiviti hariannya.

Arwah dilaporkan berkata, dia menjalani pemeriksaan di Hospital Teluk Intan (HTI), Perak dan doktor memaklumkan terdapat ketumbuhan di bawah pahanya.

Dia kemudian dirujuk ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang dan HKL sebelum disahkan ia disebabkan penyakit berkenaan.

Dalam pada itu, Nurul Najwa berkata, selepas diuji kanser sarcoma, arwah ibunya turut diuji dengan kanser paru-paru, baru-baru ini.

"Mak dah sebulan berada di HKL selepas disahkan menghidap penyakit itu.

"Mak juga pesan, fokus kepada pelajaran di sekolah dan belajar rajin-rajin. Tetapi, Allah lebih menyayangi mak dan saya reda dengan ketentuanNya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 November 2021 @ 5:48 PM