Adham Baba (dua dari kiri) ketika merasmikan Majlis MTeX'21. FOTO Essa Abu Yamin
Adham Baba (dua dari kiri) ketika merasmikan Majlis MTeX'21. FOTO Essa Abu Yamin
Essa Abu Yamin


Batu Pahat: Expo Teknologi dan Inovasi (MTeX'21) Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) akan menjadi platform bagi negara mencapai 45 peratus pekerja berkemahiran tinggi menjelang 2030.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Sri Dr Adham Baba berkata, program berkonsepkan pertandingan itu mampu menyuntik semangat pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) menghasilkan produk berteraskan teknologi dan inovasi.

"Dalam Pemangkin Dasar 1 Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) iaitu Membangunkan Berat Masa Hadapan', tumpuan diberikan kepada penjajaran semula pasaran buruh, pendidikan dan latihan.

"Ketika ini peratusan pekerja berkemahiran tinggi di Malaysia ialah pada 28.6 peratus sahaja dan kerajaan menyedari pembangunan bakat adalah asas amat penting kepada dasar jangka panjang negara ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Pelancaran MTeX'21 di Bilik Bankuet Dewan Sultan Ibrahim, Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM) Batu Pahat, dekat sini, hari ini.

Beliau berkata, Mosti komited bagi memastikan budaya inovasi berimpak tinggi dan berkualiti untuk dikomersialkan bagi memenuhi kehendak pengguna, sekali gus mendapat permintaan tinggi dalam pasaran.

Menurutnya, Mosti akan membantu dengan membangunkan ekosistem, kapasiti, lembaga kawal selia serta geran yang bersesuaian untuk membantu anak muda dalam bidang teknologi dan teknikal.

"Program MTeX'21 kali ini mempertandingkan tiga kategori iaitu kategori pelajar tahun akhir diploma, ijazah sarjana muda dan ahli profesional MBOT.

"Program itu bertujuan untuk memupuk budaya inovasi dalam kalangan Keluarga Malaysia disamping menyediakan bakat berkemahiran tinggi seperti yang digariskan dalam Dasar 4IR negara," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Dr Adham berkata, Mosti menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam menyambung kontrak saintis untuk membangunkan vaksin Covid-19 sendiri.

Beliau berkata, pPembangunan vaksin itu akan dilaksanakan sehingga lima tahun akan datang dan proses penghasilan vaksin sudah berada di fasa penyah-aktifan virus Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 November 2021 @ 4:59 PM