Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Penutupan operasi kilang pembungkusan semula minyak masak paket bersubsidi di daerah Timur Laut, di sini, antara yang punca kekurangan bekalan bahan itu sejak seminggu lalu.

Ia berikutan terdapat kes positif Covid-19 dalam kalangan pekerja dikesan di kilang berkenaan menyebabkan operasinya terpaksa dihentikan selama seminggu, sekali gus mengganggu bekalan di pasaran.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang, Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata, isu bekalan berkenaan sudah pulih sejak semalam.

Beliau berkata, pengilang berkenaan adalah pihak dilantik bagi operasi pembungkusan semula minyak masak bersubsidi terbesar di daerah Timur Laut yang membekalkan 150 tan sebulan.

"Jadi isu kekurangan atau gangguan bekalan makanan hanya berlaku di daerah ini sahaja, tidak membabitkan seluruh Pulau Pinang.

"Selain itu kuota bagi pengedaran minyak masak paket bersubsidi yang sudah mencukupi pada Oktober lalu menjadi penyebab kekurangan bekalan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

MOHD Ridzuan (kanan) melancarkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali (SHMMP) 2021 di Pasar Awam Chowrasta, Jalan Penang. FOTO Mikail Ong
MOHD Ridzuan (kanan) melancarkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali (SHMMP) 2021 di Pasar Awam Chowrasta, Jalan Penang. FOTO Mikail Ong

Terdahulu, Mohd Ridzuan melakukan tinjauan Skim Harga Maksimun Musim Perayaan Deepavali 2021 peringkat negeri Pulau Pinang di Pasar Chowrasta, di sini.

Sebanyak 11 bekalan dan barangan keperluan yang terbabit menerusi skim berkenaan bermula 1 hingga 7 November ini.

Beliau berkata, setakat ini sebanyak tiga wakil di daerah Timur Laut dilantik bagi operasi pembungkusan semula minyak masak paket bersubsidi itu.

"Pemeriksaan KPDNHEP mendapati peruncit sudah mula menerima bekalan minyak masak mulai minggu ini.

"Kuota minyak masak bersubsidi bagi Pulau Pinang ialah 3,434,000 kilogram sebulan dan ia dibungkus semula oleh 25 wakil syarikat yang dilantik di negeri ini," katanya.

Semalam, Harian Metro melaporkan aduan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) yang mendapati bekalan minyak masak paket bersubsidi berkurangan sejak seminggu lalu.

Menerusi tinjauan yang dilakukan CAP, peniaga kedai runcit mendakwa mereka tiada bekalan stok dan belum dihantar pembekal menjelang perayaan Deepavali.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 November 2021 @ 12:55 PM