Rafidah Mat Ruzki


Sepang: Penentuan harga siling baharu bagi kit ujian Covid-19 kendiri akan mengambil kira semua aspek termasuk kepentingan pengguna dan peniaga.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ia berikutan kementerian itu perlu mengambil kira sama ada peniaga perlu mengimport kit berkenaan dari negara berlainan.

Difahamkan, setakat ini kit ujian Covid-19 kendiri turut diimport dari negara seperti China dan Korea, selain diperolehi dari pengeluar tempatan.

Alexander berkata, pihaknya akan menentukan paras harga siling baharu itu dalam masa terdekat.

"Kita akan terus turunkan (harga) ke satu tahap. Buat masa sekarang kita mesti pantau dan teliti secara menyeluruh supaya kita berlaku adil kepada semua pihak (pengguna dan peniaga)," katanya pada sidang media selepas melancarkan penjualan kit ujian kendiri Covid-19 bawah paras RM10 seunit dan tinjauan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali 2021 di Gateway @ klia2, Sepang, di sini, tadi.

Turut hadir Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Dr KK Chai.

Alexander berkata, sehingga 28 Oktober lalu, sebanyak 2,570 premis perniagaan kategori pasar raya, rangkaian kedai serbaneka dan stesen minyak diberi kelulusan untuk menjual kit ujian kendiri jenis RTK Antigen.

Pengunjung melihat Kit Ujian Kendiri Covid-19 yang dijual dengan harga RM6.60 di KK Super Mart Cawangan Gateway @ KLIA2. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Pengunjung melihat Kit Ujian Kendiri Covid-19 yang dijual dengan harga RM6.60 di KK Super Mart Cawangan Gateway @ KLIA2. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

Beliau berkata, biarpun ketika ini, ada premis runcit yang menawarkan harga kit berkenaan pada paras RM6.60, ia tidak bermakna harga siling yang akan ditentukan nanti serendah itu.

Katanya, daripada jumlah itu, sejumlah 494 premis di bawah pengurusan KK Supermart & Superstore Sdn. Bhd. termasuk lokasi Gateway @ KLIA2.

Beliau berkata, selain daripada perluasan lokasi penjualan kit ujian kendiri Covid-19 ini, pihaknya juga menggalakkan peniaga menjualnya pada harga yang lebih kompetitif tanpa perlu merujuk kepada sebarang penentuan paras harga yang baharu.

"Melalui cara itu, kit berkenaan bukan saja mudah diperolehi pengguna, malah harga yang kompetitif juga memberi peluang kepada orang ramai untuk membuat pilihan. Seterusnya harga peranti itu boleh turun ke paras mampu milik terutamanya untuk mengekang penularan pada kalangan golongan komorbid, golongan yang tidak tertakluk bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), golongan yang tidak dapat diberikan vaksin COVID-19 atas

faktor kesihatan, dan semua golongan yang dianggap berisiko tinggi untuk dijangkiti dari aspek usia, lokaliti,

pekerjaan dan aktiviti seharian.

"Kita memberi peluang pengguna untuk membuat pilihan. Kalau mereka boleh membuat pilihan sudah tentu harga tidak berapa sama," katanya,

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 November 2021 @ 5:51 PM