Idris Haron
Idris Haron
Hassan Omar


Melaka: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang Datuk Seri Idris Haron menafikan desas-desus bakal bertanding di Asahan pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 20 November ini.

Sebaliknya beliau menegaskan, kehadirannya ketika majlis penyampaian sumbangan kit makanan untuk anggota komuniti India sempena Deepavali di sebuah taman perumahan di Asahan semalam, adalah atas undangan Setiausaha Perhubungan Parti Amanah Negara (AMANAH) Melaka, Datuk Asyraf Minhat.

"Secara kebetulan saya pulang ke kampung halaman di Asahan. Bukan untuk berkempen atau berjumpa dengan anggota masyarakat di kawasan itu, sebaliknya kerana saya berasal dari kawasan itu.

"Saya balik kampung untuk bertemu keluarga saya dan sanak saudara yang ramai di Asahan. Bagaimanapun saya kemudian menerima panggilan Datuk Asyraf yang meminta saya hadir di sebuah taman.

"Tujuannya bukan untuk berkempen, sebaliknya untuk menyerahkan sumbangan kit makanan kepada anggota masyarakat," katanya tadi.

Idris diminta mengulas klip video beliau berucap di khalayak anggota komuniti di sebuah taman perumahan sebelum penyampaian sumbangan itu dilakukan.

Beliau turut melafazkan beberapa ayat dalam bahasa Tamil yang bermaksud apa khabar dan selamat menyambut Deepavali.

Beliau sebelum ini dilaporkan masih belum pasti sama ada akan mempertahankan kerusi Sungai Udang atau sebaliknya pada PRN.

Setakat ini beliau dan tiga lagi bekas ADUN, iaitu Datuk Nor Azman Hassan (Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) belum mengumumkan parti yang bakal disertai.

Idris, Nor Azman dan Noor Effandi dilaporkan akan menyertai satu daripada parti komponen Pakatan Harapan (PH) manakala Norhizam tidak diterima menjadi ahli parti komponen PH berdasarkan keputusan dibuat Majlis Presiden PH minggu lalu.

Idris juga berkata, pengumuman pembahagian kerusi oleh Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim Jumaat lalu

mencerminkan kesepakatan parti komponen PH untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN).

"Berdasarkan pengalaman saya sebagai Ketua Menteri dan mengetuai BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), aspek pembahagian kerusi dalam kalangan parti komponen sangat sukar untuk diselesaikan kerana setiap parti ada kekuatan masing-masing.

"Bagaimanapun, apabila pembahagian itu berjaya disepakati, saya yakin PH sudah berjaya melepasi halangan pertama dan mempunyai prospek amat cerah untuk meraih kemenangan pada PRN kali ini," katanya.

Pix 1 dan 2: Idris Haron.

Pix 3-5: Idris menyampaikan ucapan pada program penyampaian sumbangan makanan sempena Deepavali di sebuah taman perumahan di Asahan.

- Foto HASSAN OMAR

From: HJ HASA

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 November 2021 @ 5:29 PM