Ahmad Suhael Adnan


Kuala Lumpur: Kerajaan tidak akan mengubah prosedur operasi standard (SOP) kawalan Covid-19, khususnya membabitkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, hanya kerana didesak pihak tertentu.

Timbalan Menteri Kesihatan II, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, semua pihak, khususnya ahli dan parti politik perlu akur dengan SOP ditetapkan bagi memastikan risiko penularan kes Covid-19 dapat dikawal.

"Berkaitan SOP PRN Melaka, kita ada dasar dan strategi kawalan wabak menerusi SOP ditetapkan. Kerajaan tidak boleh sewenang-wenangnya mengubah SOP disebabkan permintaan pihak tertentu.

"Apabila kerajaan menetapkan SOP, kita tidak boleh kata perkara tertentu (yang bertentangan SOP berkenaan) boleh dilaksanakan," katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Dr Lee Boon Chye (PH-Gopeng) yang bertanya mengapa SOP diumumkan untuk PRN Melaka terlalu ketat sedangkan negeri itu sudah berada dalam Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan (KKM) menetapkan sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan PRN Melaka, termasuk majlis pelancaran jentera pilihan raya dilarang mulai 25 Oktober hingga 27 November ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata, larangan itu ditetapkan meskipun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bakal mengumumkan SOP PRN dalam masa terdekat.

Susulan pengumuman itu, dua parti politik iaitu Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan Barisan Nasional (BN) dikompaun oleh KKM kerana melanggar SOP berkenaan.

MUDA dikenakan dikenakan kompaun RM4,000 pada 27 Oktober lalu selepas didakwa tidak mematuhi arahan polis untuk tidak meneruskan sesi sidang media di Bangunan Stadthuys, di Melaka.

BN pula dikompaun RM10,000 kerana melanggar SOP itu dengan mengadakan majlis pelancaran jentera PRN Melaka di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, juga pada 27 Oktober.

BN turut keliru dengan SOP terbabit yang menyangka perhimpunan sempena pelancaran jentera pilihan raya PRN Melaka dibenarkan diadakan di luar negeri itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 November 2021 @ 12:32 PM