Nor Azman menyampaikan hamper kepada anggota komuniti India sempena Deepavali di Taman Tangga Batu, Tanjung Kling. Foto HASSAN OMAR
Nor Azman menyampaikan hamper kepada anggota komuniti India sempena Deepavali di Taman Tangga Batu, Tanjung Kling. Foto HASSAN OMAR
Hassan Omar


Melaka: Tiga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang menarik sokongan kepada Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali menunggu isyarat daripada Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyertai satu daripada parti komponen PH.

Seorang lagi bekas Adun yang bertindak sedemikian tetapi tidak diterima menjadi ahli parti komponen PH diyakini bakal bertanding atas tiket Bebas dan mempunyai harapan cerah untuk menang.

Menjelaskannya, bekas Adun Pantai Kundor Datuk Nor Azman Hassan berkata, selain beliau, turut menunggu isyarat berkenaan ialah Datuk Seri Idris Haron (Adun Sungai Udang) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Adun Telok Mas).

"Kami sedang menunggu isyarat daripada beliau bila waktu paling sesuai untuk membuat pengumuman penyertaan kami (ke dalam satu daripada parti komponen PH) kerana beliau mempunyai pelbagai perkara yang harus dipertimbangkan.

"Bagaimanapun, sudah pastilah pengumuman itu akan dibuat sebelum penamaan calon pada 8 November ini," katanya selepas menyampaikan sumbangan hamper kepada anggota komuniti India sempena Deepavali di Taman Tangga Batu, Tanjung Kling, dekat sini, hari ini.

Nor Azman berkata, beliau yakin bekas Adun Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee yang dilaporkan tidak akan diterima menjadi ahli parti komponen PH, apatah lagi menjadi calon PH, kemungkinan besar bertanding atas tiket Bebas.

"Kami yakin beliau mempunyai harapan amat cerah untuk menang kerana di peringkat akar umbi, anggota komuniti di kawasan itu senang dengan beliau kerana beliau kuat bekerja dan sering membantu mengatasi masalah rakyat.

"Kita jangan anggap apabila ada pihak bertanding atas tiket Bebas dia sukar untuk menang kerana hati pengundi tiada siapa yang boleh membacanya, hatta parti besar yang dominan," katanya.

Anwar dilaporkan berkata, Majlis Presiden PH membuat keputusan tidak akan menerima Norhizam menjadi ahli mana-mana parti komponen PH, apatah lagi mencalonkannya untuk bertanding atas tiket PH.

Nor Azman mengulangi kenyataannya, beliau akan mempertahankan kerusi Pantai Kundor dan yakin bakal memperoleh sokongan untuk mengekalkan kerusi berkenaan berdasarkan beberapa faktor.

Nor Azman dan tiga lagi Adun terbabit dilaporkan sudah beberapa kali bertemu Anwar selepas mengumumkan penarikan sokongan kepada Sulaiman pada 4 Oktober lalu.

Mereka menerima pelbagai tawaran daripada pemimpin pelbagai parti, terutama parti komponen PH tetapi menunggu waktu paling sesuai untuk mengumumkan parti yang bakal disertai menjelang penamaan calon.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14, Nor Azman yang ketika itu mewakili Barisan Nasional (BN), menewaskan Juhari Osman (PKR) dan Abdul Halim Maidin (PAS) dengan majoriti 772 undi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Oktober 2021 @ 5:24 PM