SSPN
SSPN
Oleh Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berjaya melepasi jumlah deposit Simpan SSPN sebanyak RM155 juta berbanding RM110 juta yang disasarkan.

Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, jumlah itu berjaya dicapai sepanjang program Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) 2021 yang berlangsung selama sebulan.

Katanya, peningkatan 141 peratus jumlah deposit itu adalah kejayaan berikutan kepercayaan pendeposit Simpan SSPN di kala pandemik Covid-19 masih melanda negara.

"Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada semua pendeposit kerana berjaya menjadi 'Superhero' anak anda.

"Tahun ini juga, PTPTN telah mensasarkan jumlah deposit sebanyak RM1.8 bilion dengan 400,000 pembukaan akaun baharu.

"Rekod sehingga September 2021 menunjukkan pencapaian sebanyak 315,984 akaun baharu Simpan SSPN.

"Manakala deposit yang diterima bagi tempoh yang sama adalah sebanyak RM1.78 bilion," katanya di majlis penutup BMS 2021 dan Sambutan Hari Tabungan Sedunia secara maya, hari ini.

BMS adalah program yang dirangka dan dilaksanakan bermula 2018 sebagai salah satu program promosi dalam usaha menjadikan Simpan SSPN sebagai pilihan utama untuk membuat penabungan dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Pelaksanaan program BMS 2021 kali ini membawakan kelainan yang dilihat memberi impak positif kepada seluruh masyarakat Malaysia walaupun negara masih dilanda pandemik Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Oktober 2021 @ 4:48 PM