Syaherah Mustafa


Kota Bharu: Lebih 10,000 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terbabit dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Sarawak diberi keutamaan untuk menerima dos penggalak Covid-19.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, pihaknya sudah membuat permohonan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk vaksinasi kali ketiga itu pada 26 Oktober lalu.

"Setakat ini lebih 7,000 anggota ditugaskan mengawal kelancaran PRN di Sarawak, manakala seramai 3,600 lagi bertanggungjawab menjalankan tugas di PRN Melaka yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

"Bagaimanapun, pihak kami masih menunggu kelulusan daripada KKM untuk menjalankan proses suntikan dos penggalak terbabit selain mahu memastikan kesemua 127,000 anggota di seluruh negara turut menerimanya bagi mengelak penularan wabak," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis penyerahan kenderaan Toyota Hilux GS Cargo dan Van Go Auto Higer Ace di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat.

Mazlan Lazim, melihat salah sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux GS Cargo yang baru diserahkan kepada Polis Kontinjen Kelantan di IPK Kelantan, di sini, hari ini.
Mazlan Lazim, melihat salah sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux GS Cargo yang baru diserahkan kepada Polis Kontinjen Kelantan di IPK Kelantan, di sini, hari ini.

Dalam majlis sama, beliau menyampaikan sumbangan kewangan serta bakul prihatin kepada 40 pesara polis dan keluarga asnaf.

Sementara itu, Mazlan berkata, Kontinjen Kelantan menerima 23 Toyota Hilux GS Cargo dan 11 Van Go Auto Higer Ace bagi menggantikan aset pengangkutan lama sekali gus dapat memperbaharui imej PDRM.

"Semoga dengan penyerahan kenderaan baharu ini dapat melancarkan penugasan atau operasi di Kelantan terutama menjelang musim banjir yang melanda negeri ini.

"Aset berkenaan akan dibahagikan untuk ditempatkan pada semua daerah agar penugasan PDRM di setiap kawasan lebih mantap selain memberi semangat baru kepada anggota agar lebih berkeyakinan ketika bertugas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Oktober 2021 @ 3:15 PM