ANTARA Pati yang ditahan anggota tentera. FOTO ihsan Markas Divisyen Pertama Infantri Malaysia
ANTARA Pati yang ditahan anggota tentera. FOTO ihsan Markas Divisyen Pertama Infantri Malaysia
Norsyazwani Nasri
am@hmetro.com.my


Kuching: Seramai 21 pendatang asing tanpa izin (Pati) Indonesia yang cuba meloloskan diri ke Sarawak melalui lorong tikus di Kandaie dan Lubok Antu pada tengah hari semalam dan pagi tadi diusir pihak tentera.

Jurucakap Markas Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Divisyen) berkata, pengusiran pertama di Kandaie kira-kira 100 meter dari sempadan Sarawak jam 1.50 tengah hari semalam.

"Sepasukan anggota yang sedang melaksanakan rondaan berjaya mengesan empat individu berjalan memasuki kawasan Malaysia dari arah Indonesia.

"Selepas disoal siasat, semua lelaki yang berusia antara 17 hingga 55 tahun itu tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan sah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, mereka menyatakan tujuan masuk ke Malaysia untuk mencari hasil hutan.

"Pengusiran kedua dilakukan sekitar jam 7 pagi tadi, sepasukan anggota yang sedang melaksanakan rondaan mengesan 17 individu dipercayai Pati berjalan memasuki Malaysia kira-kira 100 meter dari sempadan Indonesia di kawasan Lubok Antu.

"Selepas disoal siasat, 12 lelaki berusia antara 22 hingga 52 tahun, empat wanita berusia 21 hingga 40 tahun bersama seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun didapati tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah," katanya.

Katanya, mereka menggunakan laluan haram untuk masuk mencari pekerjaan.

"Semua Pati diusir dan laporan polis dibuat untuk tindakan selanjutnya, pemantauan serta rondaan berterusan giat dijalankan oleh pasukan yang bertugas.

"Melalui inisiatif Ops Benteng Tentera Darat khususnya anggota yang bertugas di persempadanan Sarawak - Kalimantan Barat terus kekal siap siaga dan beriltizam mengawal keselamatan dan memastikan kedaulatan negara terus terpelihara," katanya.

Katanya, pihak tentera akan memastikan tiada sebarang pencerobohan Pati yang berisiko menyumbang kepada penularan wabak Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Oktober 2021 @ 12:35 PM