Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Umno dan Barisan Nasional (BN) berusaha mengelakkan pertembungan tiga penjuru antara parti dalam kerajaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, setakat ini rundingan mengenainya sedang berjalan.

Naib Presiden Umno itu berkata, sebarang pertembungan tiga penjuru akan menyebabkan pihak lain akan mendapat keuntungan.

"Kita akan berusaha mengelakkan pertembungan...kerana tahu jika berlaku pertembungan tiga penjuru akan ada pihak lain yang mendapat keuntungan

"MKT (Majlis Kerja Tertinggi) sudah memberikan mandat kepada saya untuk berunding berbincang dengan parti dalam kerajaan sebab kita tahu ada pertembungan tiga penjuru, ada pihak lain dapat keuntungan.

"Seperti kata orang dulu-dulu, antan sama antan berlaga, ayam di tepi lesung yang kenyang," katanya ketika sidang media selepas merasmikan majlis sambutan Hari Belia Negara.

Sementara itu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memberi tumpuan untuk mempersiapkan jentera Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi PRN berkenaan.

Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pihaknya bekerja sebagai sebuah parti dalam komponen PN.

"Jika ada kerjasama dengan pihak lain kita akan maklumkan kemudian," katanya.

Khamis lalu, MKT Umno memutuskan akan meneruskan persefahaman dengan Pas dalam menghadapi PRN Melaka, bulan depan.

Mesyuarat turut memberi mandat kepada Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan dan Perdana Menteri sendiri untuk memuktamadkan sebarang keputusan berkaitan PRN itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Oktober 2021 @ 6:42 PM