KENDERAAN dipandu mangsa terbabas selepas dia dipercayai mengalami serangan jantung. FOTO ihsan polis
KENDERAAN dipandu mangsa terbabas selepas dia dipercayai mengalami serangan jantung. FOTO ihsan polis
Nurul Fatihah Sulaini


Setiu: Pesara maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima dipandunya terbabas dipercayai akibat serangan jantung di Kilometer 50, Batu 29, Sungai Tong, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 8 pagi, mangsa, Hamdan Salleh, 70, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan paramedik.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku semasa mangsa bersama keluarganya yang dalam perjalanan dari Kuala Terengganu menghala ke Kota Bharu, Kelantan secara tiba-tiba mengalami serangan jantung.

Katanya, mangsa tidak dapat mengawal kenderaan lalu terbabas ke dalam longkang berhadapan Sekolah Kebangsaan Batu 29.

"Anak mangsa menghubungi talian kecemasan dan selepas pihak paramedik sampai di tempat kejadian, rawatan kecemasan segera dilakukan.

"Bagaimanapun pihak paramedik mengesahkan mangsa meninggal dunia. Mayat dihantar ke unit forensik Hospital Setiu untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Oktober 2021 @ 5:43 PM