Datuk Seri Hamzah Zainudin. FOTO Nuraliawati Sabri
Datuk Seri Hamzah Zainudin. FOTO Nuraliawati Sabri
Oleh Nuraliawati Sabri

am@hmetro.com.my.

Melaka: "Saya tidak faham bab-bab tersirat, faham yang tersurat sahaja," kata Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Hamzah Zainudin berhubung kerjasama antara parti itu bersama Umno pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Menurut Hamzah, tindakan Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Ahmad Maslan yang tidak menyebut nama Bersatu ketika mengumumkan kerjasama bersama PAS dalam Muafakat Nasional (MN) memberi gambaran tiada kerjasama antara Umno dan Bersatu.

"Kalau apa yang saya baca, Setiausaha Agung Umno tidak sebut nama parti saya, Bersatu.

"Kalau daripada penerimaan dan pemahaman kita orang biasa, maknanya dia (Umno) tidak mahu bekerjasama dengan Bersatu," katanya.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di Bukit Beruang hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mazlan Lazim.

Jelas Hamzah, apa yang difahami beliau daripada keputusan itu adalah yang tersurat.

"Saya tidak faham bila sesuatu yang dikeluarkan dalam media, yang saya faham yang tersurat.

"Jadi yang ada di situ itulah, yang mereka mahukan. Yang tersirat itu saya tidak faham.

"Kalau dia katakan itu sebenarnya macam ini atau itu, ia terpaksa dibincangkan dahulu, baru saya boleh jawab," katanya.

Terdahulu, Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno pada Khamis memutuskan untuk meneruskan persefahaman dengan PAS pada PRN Melaka.

Setiausaha Agung Umno memaklumkan yang keputusan itu selaras dengan ketetapan Perhimpunan Agung Umno 2020 iaitu memperkukuhkan Muafakat Nasional (MN).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Oktober 2021 @ 4:20 PM