REAKSI ceria Ismail Sabri Yaakob selepas pembentangan Bajet 2022 di Bangunan Parlimen hari ini. FOTO BERNAMA
REAKSI ceria Ismail Sabri Yaakob selepas pembentangan Bajet 2022 di Bangunan Parlimen hari ini. FOTO BERNAMA
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: "Terima kasih kepada Keluarga Malaysia yang sememangnya dekat di hati saya atas segala lontaran idea dan pandangan dalam menyempurnakan Bajet 2022," kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurutnya, bajet yang bertemakan 'Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera' adalah tanda keprihatinan kerajaan kepada rakyat secara keseluruhan.

"Semua pihak mendapat manfaat termasuklah penduduk desa, pekebun kecil, petani, mahasiswa serta anak muda, peniaga, ibu yang mencorakkan keluarga, OKU (orang kurang upaya) yang istimewa, penjawat awam, hatta pendidikan anak kecil.

"Malah, penekanan besar turut diberikan untuk manfaat dan pembangunan rakyat di Sabah dan Sarawak.

"Sektor pendidikan menerima peruntukan terbesar dalam menjamin masa depan anak-anak kita dan masa depan negara," katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Ismail berkata, Malaysia juga bakal menerima liputan 5G dengan kadar capaian Internet yang lebih meluas, sekali gus mempertingkatkan kualiti kehidupan rakyat dalam mendepani era digital.

Beliau berkata, Bajet 2022 juga menumpukan kepada peningkatan kesihatan rakyat termasuk menangani isu kesihatan mental dan membela kebajikan barisan hadapan.

Selain itu, katanya, keselamatan terus dipertingkatkan supaya Keluarga Malaysia dapat tidur lena dan kedaulatan negara terpelihara.

"Insya-Allah, atas izin Allah Yang Maha Esa, kita akan dapat merealisasikan hasrat membangun semula negara kita dengan kebahagiaan yang lebih tersulam, semangat Keluarga Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Oktober 2021 @ 10:54 PM