DR Sha'ari Ngadiman. FOTO Bernama
DR Sha'ari Ngadiman. FOTO Bernama
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) mengesahkan ketua jururawat meninggal dunia akibat Covid-19, bukan kesan sampingan suntikan vaksin.

Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Sha'ari Ngadiman berkata, semakan mendapati ketua jururawat berkenaan adalah seorang pesakit kanser yang masih dalam tempoh cuti sakit barah selama dua tahun.

"Beliau ditawarkan untuk mengambil vaksin Covid-19 pada 17 Februari lalu namun menolak dengan alasan risau dengan kesan sampingan vaksin itu.

"Bagaimanapun, beliau kemudiannya mendaftar dalam MySejahtera serta memberi kebenaran secara sukarela dalam borang kebenaran mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

"Beliau menerima dos pertama vaksin Covid-19 jenama Cominarty keluaran Pfizer-BioNTech pada 23 Julai lalu," katanya dalam satu kenyataan hari ini

Dr Sha'ari berkata, kemudian ketua jururawat itu mengalami gejala demam 12 hari selepas mengambil vaksin namun beliau tidak mendapatkan rawatan untuk gejala itu.

"Beliau mengalami kesukaran bernafas di rumah kediaman beliau dan dibawa oleh ambulans ke hospital pada 7 Ogos lalu iaitu 16 hari selepas suntikan vaksin.

"Setibanya di hospital, beliau dirawat sebagai pesakit suspek Covid-19 Kategori 5 dan keputusan ujian RTK Antigen beliau kemudian didapati positif.

"Beliau dirawat di Unit Rawatan Rapi dan memerlukan bantuan pernafasan. Namun, keadaan pesakit semakin merosot dan disahkan meninggal dunia pada 14 Ogos lalu," katanya.

Beliau berkata, saringan kontak rapat terdapat dua ahli keluarga turut disahkan positif Covid-19.

"Pihak hospital mengesahkan pesakit meninggal dunia disebabkan oleh penyakit Covid-19 dan bukannya akibat kesan sampingan vaksinasi Covid-19," katanya.

Pada 22 Oktober lalu, tular di media sosial satu video berkenaan dakwaan seorang ketua jururawat di Selangor yang meninggal dunia akibat daripada suntikan vaksin Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Oktober 2021 @ 6:17 PM