FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Semua aktiviti atau gerak kerja sepanjang proses Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka perlu berlangsung secara norma baharu bagi mengelak berlakunya penularan drastik Covid-19 atau di luar kawalan.

Pakar Kesihatan Pekerjaan, Kecemasan dan Kesihatan Am, Dr Hanafiah Bashirun berkata, semua pihak perlu berwaspada dengan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) serta menjadikan kes penularan Covid-19 akibat perhimpunan ramai di PRN Sabah sebagai iktibar.

Katanya, seiring dengan situasi semasa Covid-19 yang masih di tahap membimbangkan di negara ini, calon wakil rakyat perlu lebih kreatif menarik perhatian pengundi secara maya bukan lagi kaedah fizikal yang lazimnya dilakukan sebelum ini.

"Saya cadangan mereka menggunakan platform maya sepenuhnya untuk berkempen tiada lagi berkumpul membabitkan orang ramai di sesuatu tempat.

"Sama juga ketika ingin menyalurkan bantuan atau sumbangan kepada golongan sasar, calon wakil rakyat hanya perlu menyerahkan barangan yang dilekatkan gambar wajah mereka kepada ketua kampung atau ketua komuniti saja untuk pengagihan," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kaedah bersesuaian perlu dilakukan di PRN Melaka bagi mengelak berulang kes penularan Covid-19 akibat PRN Sabah tahun lalu.

Mengulas lanjut katanya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga perlu menetapkan had bilangan petugas ketika berkempen, pencalonan dan hari pengundian dengan mewajibkan kekerapan membuat saringan kendiri menggunakan kit ujian RTK Antigen Saliva.

"Malah, setiap petugas dari mana-mana parti atau calon wakil rakyat perlu kerap membuat saringan kendiri menggunakan RTK Antigen Saliva sekurang-kurangnya tiga hingga empat hari bagi mengetahui status keadaan kesihatan mereka.

"Kaedah sama perlu dilakukan mereka ketika mahu pulang ke tempat asal selepas tamat PRN di Melaka dan lebih baik jika menggunakan Real-Time Reverse Transcription Polymerase Chain Reaction (RT-PCR)," katanya.

Menurutnya, konsep mengundi secara bergilir-gilir berdasarkan kategori umur pengundi juga antara kaedah terbaik yang dilihat mampu mengelak berlakunya kesesakan di tempat pengundian.

"Jangan buat undian secara serentak, mungkin kita boleh buat tiga hari berturut-turut atau masa berlainan ikut kategori umur pengundi bagi mengelak semua berpusu-pusu mengundi di sesuatu tempat pada masa sama.

"Selain itu, tiada lagi kempen dijalankan pada hari pengundian di luar tempat pengundian sebaliknya hanya pengundi sahaja berada di situ pada waktu itu," katanya.

Semalam, Barisan Nasional (BN) dikompaun sebanyak RM10,000 kerana melanggar SOP Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) ketika pelancaran Jentera BN PRN Melaka di Dewan Tun Hussein Onn, World Trade Centre Kuala Lumpur (WTC), malam kelmarin.

Sehari sebelum itu, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) turut dikompaun RM4,000 selepas didakwa tidak mematuhi arahan polis untuk tidak meneruskan sesi sidang media bagi mengumumkan parti itu akan bertanding pada PRN Melaka.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melarang apa juga bentuk perhimpunan yang berkaitan dengan pilihan raya berkuat kuasa Isnin lalu hingga 27 November depan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata, perhimpunan itu termasuk penganjuran majlis seperti pelancaran jentera pilihan raya, bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan Covid-19 dan peningkatan kes mendadak.

SPR menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 November diikuti dengan penamaan calon pada 8 November manakala undi awal pada 16 November.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Oktober 2021 @ 2:15 PM