Foto hiasan
Foto hiasan
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Umno akan meneruskan persefahaman dengan Pas dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, bulan depan.

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat khas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang dipengerusikan oleh Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi malam tadi.

Menurutnya, ia juga selaras dengan ketetapan Perhimpunan Agung Umno 2020 iaitu memperkukuhkan Muafakat Nasional (MN).

"Asas persefahaman dengan Pas berpandukan kepada prinsip bahawa parti itu menggunakan lambang sendiri selaras dengan semangat dan ketetapan Jawatankuasa Induk MN dalam mesyuarat pada 19 Oktober dan 18 November tahun lalu.

"Ini adalah untuk mengelakkan pertembungan sesama sendiri dan pada masa sama mengekalkan penggunaan lambang parti masing-masing dalam pilihan raya," katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Selain itu, beliau berkata, MKT juga memberi mandat kepada presiden, timbalan presiden dan Perdana Menteri untuk memuktamadkan sebarang keputusan berkaitan PRN Melaka.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Oktober 2021 @ 12:01 AM