Dr Zambry Abd Kadir
Dr Zambry Abd Kadir
BERNAMA

Kuala Lumpur: Barisan Nasional (BN) akan membayar kompaun RM10,000 yang dikenakan kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dalam kenyataannya berkata, BN adalah parti yang patuh kepada undang-undang dan menghormati arahan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin untuk tidak mengadakan sebarang perhimpunan yang berkaitan dengan pilihan raya.

"Bagaimanapun, pada hemat BN arahan tersebut berkaitan dengan perhimpunan di negeri Melaka. Maka majlis pelancaran jentera BN yang sepatutnya diadakan di Melaka dipindahkan ke World Trade Center Kuala Lumpur (WTCKL) pada Rabu (semalam)," katanya.

Menurut Zambry, pemilihan lokasi WTCKL dibuat memandangkan Kuala Lumpur sudah memasuki Fasa Empat PPN yang membolehkan perhimpunan diadakan dengan kapasiti kehadiran 50 peratus daripada keluasan dewan acara.

"Untuk makluman kehadiran jemputan dalam majlis pelancaran di Dewan Tun Hussein dan Tun Ismail WTCKL semalam sudah mengambil kira panduan SOP berkenaan dengan kapasiti," katanya.

Beliau berkata, namun pergerakan di luar dewan yang ramai adalah di luar bidang kawalan pihak penganjur.

Pejabat Kesihatan Kepong hari ini mengeluarkan kompaun sebanyak RM10,000 kepada BN kerana melanggar SOP Fasa Empat PPN.

Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi perkongsian dalam platform media sosialnya memaklumkan, kompaun mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) itu dikeluarkan kepada BN susulan penganjuran majlis sosial di WTCKL malam tadi.

Notis itu juga memaklumkan kompaun RM10,000 akan tamat tempoh pada 9 November ini.

Bermula 25 Oktober ini, KKM menguatkuasakan larangan tidak membenarkan sebarang aktiviti perhimpunan atau majlis sosial berkaitan PRN Melaka termasuk pelancaran jentera.

Larangan itu dikeluarkan kerana majlis perhimpunan berisiko menyebabkan peningkatan jangkitan Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Oktober 2021 @ 11:06 PM