Ramli Mohamed Yoosuf menyaksikan bot pada program demonstrasi mencari dan menyelamat Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga di Jeti Markas PPM Wilayah Tiga, Padang Lalang, Kuantan. FOTO Asrol Awang
Ramli Mohamed Yoosuf menyaksikan bot pada program demonstrasi mencari dan menyelamat Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga di Jeti Markas PPM Wilayah Tiga, Padang Lalang, Kuantan. FOTO Asrol Awang
Asrol Awang


Kuantan: Polis Pahang memandang serius kes penyalahgunaan senjata api buatan sendiri kerana pemiliknya bukan sahaja melakukan kesalahan, malah boleh membahayakan nyawa individu lain.

Sehubungan itu, Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf meminta individu yang memiliki senjata api terbabit supaya menyerahkannya kepada polis untuk dilupuskan.

Katanya, sebaiknya individu terbabit tidak melupuskannya sendiri bagi memastikan kaedah pelupusannya dilakukan polis.

"Seramai 39 individu ditahan kerana melakukan kesalahan kes senjata api buatan sendiri pada tahun ini.

"Hasilnya, kami merampas 23 laras senapang buatan sendiri dan 114 butir peluru serta membuka 20 kertas siasatan terhadap kes terbabit.

"Berdasarkan risikan, senjata api terbabit digunakan untuk tujuan pemburuan haram, tetapi kami bimbang kerana manusia ini pelbagai ragam dan ada yang panas baran hingga menggunakan senjata itu untuk tujuan lain selain memburu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media susulan dua kes senjata api buatan sendiri iaitu kes tangkapan dan rampasan di Maran semalam, dan kes kematian peneroka di Felda Bukit Sagu Empat, di sini, kelmarin.

Terdahulu, beliau ditemui ketika menghadiri program demonstrasi mencari dan menyelamat Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga di Jeti Markas PPM Wilayah Tiga, Padang Lalang, di sini, hari ini.

Ramli berkata, kes memiliki senjata buatan sendiri boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 8a Akta Senjata 1960 iaitu kesalahan memiliki atau membawa senjata tanpa permit sah.

Katanya, jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

"Oleh itu, orang ramai diingatkan supaya tidak membabitkan diri dalam aktiviti pemburuan haram menggunakan senjata api buatan sendiri kerana boleh didakwa mengikut Seksyen 60(1) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 yang membawa hukuman denda RM50,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau keduanya," katanya

Mengulas kes di Maran, beliau berkata, seorang lelaki warga emas berusia 70-an yang juga seorang peneroka ditahan.

Katanya, siasatan awal mendapati selain membuat senapang sendiri, warga emas terbabit turut membuat peluru sendiri dan siasatan lanjut terhadap kes berkenaan sedang dijalankan.

Manakala petang kelmarin, seorang peneroka berumur 67 tahun di Felda Bukit Sagu, maut dengan kesan tembakan di bahagian dada selain luka pada tapak tangan kanan.

Setakat ini, siasatan di tempat kejadian mendapati tiada unsur jenayah dan ia menjurus kepada kemalangan ketika mengendalikan senjata buatan sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Oktober 2021 @ 7:18 PM