LEFTENAN (PA) Yuslina Yusoff (kiri) melawat Esah Ismail, 90, yang uzur dan dibawa ke PPS Dewan Rakan Sukan Tanah Merah selepas rumahnya ditenggelami air banjir. FOTO Zuliaty Zulkiffli
LEFTENAN (PA) Yuslina Yusoff (kiri) melawat Esah Ismail, 90, yang uzur dan dibawa ke PPS Dewan Rakan Sukan Tanah Merah selepas rumahnya ditenggelami air banjir. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli


Pendang: Seramai 137 mangsa banjir di daerah ini membabitkan 34 keluarga masih ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Rakan Sukan Tanah Merah, di sini setakat jam 4 petang ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Pendang merangkap Pegawai Pertahanan Awam Daerah Pendang, Leftenan (PA) Yuslina Yusoff berkata, ia berkurangan berbanding 140 orang daripada 36 keluarga yang dilaporkan semalam.

Katanya, tiga mangsa membabitkan dua keluarga dibenarkan pulang berikutan air surut di kawasan kediaman mereka.

"Paras air sebelum ini 2.90 meter dan surut sedikit namun arus sungai masih laju termasuk Sungai Pendang.

"Antara kampung yang terjejas adalah Kampung Sukamari, Kampung Seberang Pendang, Kampung Alor Punti, Kampung Batu 16, Kampung Tanah Merah Dalam Kampung Tanjung Radin, Kampung Banggol Besi, Kampung Tok Pauh, Kampung Alor Ali, Kampung Titi Kera, Kampung Sungai Mati," katanya ketika ditemui di lokasi banjir di Kampung Alor Ali di sini, hari ini.

Sementara itu, tinjauan di Kampung Alor Ali mendapati paras air surut sedikit namun kawasan sawah masih ditenggelami air dan hampir sama dengan paras sungai.

Penduduk, Sharif Haron, 54, berkata dia tidak berpindah ke PPS walaupun kawasan rumahnya ditenggelami air.

Katanya, dia tinggal bersama anak saudaranya, Saiful Kahar Zakaria, 29, di tingkat atas rumah berkenaan dan berharap air surut sepenuhnya memandangkan keadaan cuaca makin baik.

"Tahun ini, air naik agak mengejut dan biasanya kalau banjir pun hanya dua tiga hari saja tapi kini sudah lebih seminggu.

"Pada hari pertama, Jumaat lalu air naik lebih satu meter dan kami hanya duduk di bahagian atas rumah tetapi sekarang mulai surut tapi kalau hujan lebat balik mungkin akan naik lagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Oktober 2021 @ 5:32 PM