TIGA suspek yang ditahan selepas 500 pil Erimin 5 serta daun ketum ditemui dalam kereta dinaiki mereka di Taman Connaught, semalam. FOTO Ihsan PDRM
TIGA suspek yang ditahan selepas 500 pil Erimin 5 serta daun ketum ditemui dalam kereta dinaiki mereka di Taman Connaught, semalam. FOTO Ihsan PDRM
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Polis menahan tiga lelaki bersama 500 pil Erimin 5 dan bungkusan mengandungi daun ketum di Taman Connaught, Cheras, di sini, semalam.

Dalam kejadian pada 2.20 petang, sepasukan anggota dari Balai Polis Cheras menahan sebuah kereta Nissan Almera dinaiki tiga lelaki dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, hasil pemeriksaan dilakukan di dalam kereta dinaiki suspek menemui bungkusan plastik berwarna biru yang diletakkan di bawah pelapik kaki bahagian pemandu.

"Pemeriksaan lanjut dilakukan mendapati terdapat 50 kertas aluminium foil berwarna merah diikat dengan getah mengandungi 500 pil disyaki dadah jenis Erimin 5 seberat 128.8 gram.

"Selain itu, pemeriksaan di tempat duduk penumpang belakang turut menemui beg galas berwarna hitam mengandungi empat bungkusan plastik lutsinar mengandungi daun ketum seberat 1,033 gram," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Muhammad Idzam berkata, semakan mendapati ketiga-tiga suspek berusia 19 hingga 37 tahun berkenaan bekerja sebagai tukang masak, penghantar makanan serta jurugambar.

Menurutnya, dua daripada tiga suspek terbabit mempunyai rekod jenayah.

"Semua dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM7,500 dan mereka direman tujuh hari bermula hari ini hingga 3 November depan untuk siasatan lanjut.

"Siasatan dibuat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Oktober 2021 @ 5:07 PM