uhammad Lutfi (kanan) dan adiknya, Fathur Rosi melihat surat tawaran belajar di Politeknik Ibrahim Sultan, Pasir Gudang, Johor, ketika ditemui di Bandar Springhill, Port Dickson. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
uhammad Lutfi (kanan) dan adiknya, Fathur Rosi melihat surat tawaran belajar di Politeknik Ibrahim Sultan, Pasir Gudang, Johor, ketika ditemui di Bandar Springhill, Port Dickson. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Dua beradik tekad untuk meneruskan pelajaran demi masa depan biarpun hidup dalam kekurangan selepas bapa mereka meninggal dunia 14 tahun lalu.

Muhammad Lutfi Rasuli, 22, berkata, hidup mereka kini yang hanya bergantung kepada ibunya, Marhah Umar, 52, yang bekerja sebagai tukang kemas bilik hotel.

Namun, pemuda itu berkata, dia buntu memikirkan soal kewangan untuk menghantar adiknya Fathur Rosi Rasuli, 18, melanjutkan pelajaran dalam jurusan Diploma Kejuruteraan Elektronik (Kawalan) di Politeknik Ibrahim Sultan di Pasir Gudang, Johor.

Enggan menyerah kalah, Muhammad Lutfi mengambil inisiatif memaklumkan masalah dihadapi kepada bekas guru kaunselingnya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Jumaat.

"Alhamdulillah, cikgu memohon bantuan daripada Pertubuhan Kebajikan Asnaf Setia Kasih Negeri Sembilan (PERKASIH N9) bagi mendapatkan dana bagi membiayai yuran pendaftaran.

"Pada masa sama Surau Al Hijrah Bandar Springhill turut memberi sumbangan, sekali gus dapat meringankan beban kami.

"Adik sudah mendaftar pada 19 September lalu dan perlu melaporkan diri pada 8 November ini," katanya yang sedang belajar di Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Menurutnya, ketika ini, mereka menumpang dengan bapa saudara yang bekerja sebagai buruh kerana ibu tinggal di luar dan kerja tidak tentu masa.

Sementara, Fathur Rosi berkata, sebaik tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dia sempat bekerja di sebuah kedai serbaneka di Lukut selama lima bulan sebelum berhenti untuk membuat persiapan menyambung pelajaran.

"Dengan gaji sekitar RM1,000 sebulan, dapatlah saya membeli komputer riba sebagai persediaan untuk menyambung pelajaran.

"Namun, masih tidak cukup untuk membeli keperluan yang ada menyebabkan kami agak buntu, sehinggalah ada pihak yang membantu, terima kasih kepada semua," katanya yang bercita-cita menjadi jurutera.

Sementara itu, Pengerusi Surau Al Hijrah, Ramli Ismail berkata, dia mendapat dua beradik ini memerlukan bantuan untuk menyambung pelajaran daripada jemaah surau.

"Kami rasa perlu sama-sama membantu meringankan beban dua beradik ini.

"Terima kasih juga kepada mereka yang terbabit dan kita harapkan mereka akan menjadi manusia yang berguna kepada bangsa dan negara satu hari nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Oktober 2021 @ 5:03 PM