Aizat Sharif

Kangar: Polis mensasarkan enam juta data kenderaan disaring dan disimpan sebagai profil data kenderaan menjelang akhir tahun ini menerusi penggunaan teknologi Pengimbas Nombor Pendaftaran Kenderaan (iCOPS).

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mat Kasim Karim berkata, sehingga kini pihaknya mempunyai profil data kenderaan sebanyak 4.4 juta di negara ini yang dikumpulkan menerusi iCOPS.

JSPT Bukit Aman melihat kecanggihan teknologi iCOPS ini yang dilengkapkan dengan penggunaan teknologi kamera 'Automated Number Plate Recognition' (ANPR) juga dapat diperluas kepada agensi penguatkuasaan lain seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara selepas apabila pelaksanaannya secara keseluruhan bermula tahun hadapan.

"Teknologi ANPR yang dikenali dengan alat pengimbas nombor pendaftaran kenderaan (iCOPS) mula digunakan sebagai projek perintis oleh JSPT sejak 2016 dengan perolehan yang terhad sekitar 20 unit dan ia digunakan secara meluas bagi operasi mengesan kenderaan yang mempunyai saman tertunggak, saman berstatus waran tangkap (Ops Warta), saman tertunggak warganegara asing (Ops OSTWA), kenderaan curi atau hilang, kenderaan klon serta nombor pendaftaran palsu.

MAT Kasim meneliti teknologi iCOPS yang diletakkan pada MPV polis trafik di sebuah hotel di Kangar. FOTO Aizat Sharif
MAT Kasim meneliti teknologi iCOPS yang diletakkan pada MPV polis trafik di sebuah hotel di Kangar. FOTO Aizat Sharif

"Bukan hanya di negara Malaysia, teknologi kamera ANPR ini juga turut digunakan dengan meluas di negara Asia Tenggara seperti Singapura, Thailand dan Indonesia yang berkemampuan mengecam nombor pendaftaran kenderaan dengan cekap dan pantas.

"Fungsi alat ini adalah ia akan diletakkan pada kenderaan peronda pacuan empat roda polis yang dipasangkan kamera ANPR dan dapat mengimbas nombor pendaftaran kenderaan sama ada ia statik di parkir atau bergerak di lebuh raya dengan kelajuan 130 kilometer sejam dan radius liputan adalah 180 darjah dari kenderaan berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pelancaran Alat Pengimbas Nombor Pendaftaran Kenderaan (iCOPS) JSPT Bukit Aman di sebuah hotel di sini, hari ini.

Katanya, setiap nombor pendaftaran kenderaan yang dilihat di jalanan itu menerusi iCOPS akan disambungkan ke pangkalan data profil kenderaan atau dikenali sebagai Pusat Data iCOPS di Bukit Aman untuk diperiksa sama ada mempunyai saman tertunggak atau waran tangkap membabitkan saman trafik termasuk kesalahan jenayah lain yang terdapat pada pemilik kenderaan berkenaan.

Beliau berkata, di negara seperti United Kingdom (UK) juga turut mempunyai pangkalan data seperti Pusat Data iCOPS yang dikenali sebagai National ANPR Data Centre.

"Di UK, segala data teknologi kamera ANPR ini kemudian digunakan untuk menangani kes anti keganasan serta menggunakan bukti tidak langsung (circumstantial evidence) imej kenderaan yang dirakam di lokasi kejadian jenayah oleh kamera ANPR yang digunakan sebagai keterangan terhadap jenayah di mahkamah.

"Kita menganggarkan tidak kurang 85 peratus penjenayah menggunakan jalan raya semasa atau selepas melakukan kegiatan jenayah.

"Dengan adanya ICOPS ini dapat membantu polis dalam mengesan pelaku jenayah menerusi kenderaan yang digunakan serta bukti lain yang ada di sekeliling kita," katanya.

Terdahulu, Mat Kassim meninjau demonstrasi penggunaan teknologi berkenaan yang diletakan di beberapa kenderaan pacuan empat roda peronda polis trafik di Perlis.

Turut hadir adalah Timbalan Pengarah JSPT Bukit Aman Datuk Mohd Nadzri Hussain dan Ketua JSPT Negeri Perlis, Deputi Superintendan Rosmizan Abdul Wahab.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Oktober 2021 @ 4:32 PM