KERAJAAN negeri Kedah menuntut bayaran royalti pajakan Pulau Pinang sebanyak RM100 juta setahun daripada Kerajaan Persekutuan selepas mendapati ia tidak pernah dinilai semula sejak 1786. FOTO Arkib NSTP
KERAJAAN negeri Kedah menuntut bayaran royalti pajakan Pulau Pinang sebanyak RM100 juta setahun daripada Kerajaan Persekutuan selepas mendapati ia tidak pernah dinilai semula sejak 1786. FOTO Arkib NSTP
M Hifzuddin Ikhsan
hifzuddin@bh.com.my

Alor Setar: Tindakan Kedah menuntut royalti pajakan Pulau Pinang berjumlah RM100 juta setahun daripada Kerajaan Persekutuan dianggap sukar dicapai berikutan bayaran itu baharu dinaikkan pada 2018 lalu.

Pensyarah Kanan Politik dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, terdapat persamaan tuntutan Kedah dengan yang dibuat Filipina ke atas Sabah serta perjanjian penyerahan Singapura.

Jelasnya, terdapat perjanjian lampau yang perlu dihormati antara pihak yang menandatanganinya sehingga habis tempoh ditetapkan atau berlaku ketidakpatuhan dalam tempoh perjanjian berkenaan dilaksanakan.

"Dalam kes Kedah dan Pulau Pinang ini, perjanjian asal menyebut bayaran adalah 10,000 dolar Sepanyol dan ditukar kepada RM10,000 setahun sebelum Kerajaan Persekutuan bersetuju menaikkan pembayaran kepada RM10 juta kepada Kedah bermula 2018.

"Bayaran itu sudah dibuat sejak dahulu lagi dan diteruskan Kerajaan Persekutuan ketika ini, jadi perjanjian itu masih ada dan belum terbatal, malah bayaran masih terus dilakukan kepada Kedah, walaupun nilai itu mungkin dianggap tidak munasabah.

"Selain itu, tidak ada sebarang perlanggaran perjanjian berlaku terhadap Kedah sama seperti Malaysia masih meneruskan bayaran pajakan kepada Filipina serta Singapura masih membayar kepada Johor," katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor mengumumkan kerajaan negeri menuntut bayaran royalti pajakan Pulau Pinang sebanyak RM100 juta setahun daripada Kerajaan Persekutuan selepas mendapati ia tidak pernah dinilai semula sejak 1786.

Beliau berkata, tuntutan itu menjadi antara permohonan kerajaan negeri menerusi Belanjawan 2022 yang akan dibentangkan esok, selepas kerajaan negeri hanya menerima bayaran khas sebanyak RM10 juta setahun sejak 2018 dan royalti pajakan sebanyak RM10,000 setahun.

Mengulas lanjut, Mohd Azizuddin berkata, bagi mencapai persetujuan dalam perjanjian, kedua-dua pihak perlu berunding bagi menetapkan sesuatu perkara termasuk bayaran yang mahu dibuat.

"Tuntutan ini agak sukar kerana perlu membabitkan persetujuan antara dua pihak, dalam kes ini Kedah dan Kerajaan Persekutuan perlu berunding dan bersetuju bagi menaikkan lagi bayaran pajakan dengan Pulau Pinang pastinya tidak mahu membayarnya.

"Jika terdapat persetujuan sekali pun, Pulau Pinang mesti akan menyuruh Kerajaan Persekutuan yang membuat pembayaran RM100 juta itu kepada Kedah, namun perkara ini masih tetap tertakluk kepada persetujuan bersama.

"Selain itu, tidak ada bukti mengatakan Kerajaan Persekutuan atau Pulau Pinang pernah gagal membayar kepada Kedah, jadi semua pihak perlu menghormati perjanjian yang sudah ditandatangani sebelum ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Oktober 2021 @ 4:14 PM