GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Amin Jalil
am@hmetro.com.my


Seremban: Mempromosikan rumah untuk disewa di laman web dan media sosial untuk mencari penyewa, sebelum meminta individu yang berhajat membuat pembayaran terlebih dahulu.

Itu taktik digunakan segelintir pihak atau scammer untuk memperdayakan orang ramai terutama mereka yang memerlukan rumah sewa, bagi mendapat keuntungan mudah, walaupun rumah berkenaan tiada kaitannya dengan dirinya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Ab Ghani berkata, biasanya selalunya selepas mangsa ke rumah terbabit, didapati rumah itu sudah didiami oleh orang lain.

Katanya, pemilik rumah berkenaan juga tidak mengetahui rumahnya dijadikan sasaran 'scammer'.

"Jadi, orang ramai yang ingin atau sedang mencari rumah sewa diingatkan supaya lebih berhati-hati dengan menggunakan platform yang betul dan boleh dipercayai bagi mengelakkan diri mereka menjadi mangsa kegiatan penipuan pihak tidak bertanggungjawab," katanya hari ini.

Aibee berkata, pihaknya menerima 37 aduan membabitkan kes penipuan sewa rumah di Negeri Sembilan sejak Januari sehingga 21 Oktober lalu.

Beliau berkata, kes berkenaan membabitkan kerugian sebanyak RM54,175.

Katanya, sebanyak 28 kes dilaporkan berlaku di Seremban manakala empat kes di Nilai dan masing-masing dua kes di Port Dickson serta Jempol dan satu kes lagi di Tampin.

"Setakat ini, tiga daripada kes itu dalam arahan kemas untuk simpan (KUS) sementara untuk menunggu tangkapan atau maklumat lanjut.

"Sementara, satu kes lagi tiada tindakan lanjut (NFA) dan setakat ini tiada kes yang dibawa untuk pertuduhan di mahkamah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Oktober 2021 @ 12:49 PM