NANCY pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat, Parlimen Ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. FOTO Bernama
NANCY pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat, Parlimen Ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. FOTO Bernama
Amir Abd Hamid
amir_hamid@mediaprima.com.my


Kuala Lumpur: Pakaian batik Malaysia mewarnai suasana di Dewan Rakyat, hari ini, apabila sebahagian besar Ahli Parlimen mengenakan pakaian itu.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, sempena meraikan hari pertama yang bersejarah itu, semua Keluarga Malaysia akan menerima rebat tunai RM30 bagi setiap pembelian RM100 yang ditawarkan ke atas pembelian mana-mana produk batik oleh Kraf Malaysia yang dijual di cawangannya.

"Saya mengambil peluang mengucapkan terima kasih kepada semua Yang Berhormat yang anggun dan segak mengenakan baju batik Malaysia hari ini.

"Alhamdulillah, hari ini adalah hari pertama di mana Yang Berhormat Ahli-Ahli Parlimen dibenarkan untuk memakai baju batik Malaysia di dalam Dewan Rakyat pada setiap Khamis.

"Saya berterima kasih kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat di atas sokongan yang diberi di atas cadangan saya," katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata, ini adalah perkhabaran gembira kepada industri kraf negara khususnya industri batik, dalam usaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) untuk memartabatkan pemakaian batik serta mendukung warisan negara ini agar terus lestari.

Menurutnya, adalah harapan Motac bahawa semua 1,902 pengusaha tekstil di bawah Kraftangan Malaysia akan dapat manfaat daripada inisiatif ini.

"Saya juga ingin mengambil kesempatan di sini untuk memaklumkan bahawa di bawah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) 100 Hari Motac, bagi menggiatkan lagi usaha membudayakan pemakaian batik tempatan dalam kalangan masyarakat Malaysia, rebat tunai sebanyak RM30 akan diberikan ke atas setiap RM100 yang dibelanjakan di premis atau pusat jualan kraftangan seluruh Malaysia," katanya.

Pada masa sama, katanya, usaha meningkatkan pendaftaran usahawan ke Platform Digital MyCraftShoppe turut dilakukan oleh Motac bagi membantu usahawan bidang kraf meningkatkan sumber pendapatan.

"Marilah kita sama-sama menyokong batik Malaysia, InsyaAllah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Oktober 2021 @ 11:59 AM