Ahmad Zahid ketika menyampaikan ucapan di majlis Pelancaran Jentera BN PRN Melaka di Kuala Lumpur, malam ini. Foto Eizairi Shamsudin
Ahmad Zahid ketika menyampaikan ucapan di majlis Pelancaran Jentera BN PRN Melaka di Kuala Lumpur, malam ini. Foto Eizairi Shamsudin
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Barisan Nasional (BN) akan melakukan perubahan besar dengan meletakkan calon baharu dan muda pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, bulan depan.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, rundingan mengenainya akan diadakan bersama Pengarah Pilihan Raya Datuk Seri Mohamad Hasan dan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Calon mesti ada sifat wali iaitu winnable (menang), acceptable (diterima) dan likeable (disukai). Jangan ada 'under table' dan ada 'kabel'.

"Sifat wali ertinya mempunyai ilmu yang boleh diterima oleh semua agama, kaum dan keturunan di Melaka," katanya ketika berucap pada majlis Pelancaran Jentera BN PRN Melaka di sini, hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, beberapa calon lama yang pernah memegang jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri itu mungkin dikekalkan.

Zahid yang juga Presiden Umno berkata, pendekatan baharu yang akan dilaksanakan parti bukan hanya membabitkan pemilihan calon sebaliknya turut menggariskan manifesto yang memberi manfaat kepada rakyat.

"Kita (BN) akan melakukan 'game changer' bukan soal calon saja, tapi kita sudah menentukan manifesto dan garis-garis besar untuk rakyat Melaka sebagai hidangan serta aku janji yang akan dilaksanakan.

"Saya sudah memberitahu jawatankuasa pilihan raya parti, biar manifesto pendek tapi dekat di hati. Manifesto ini juga akan dibawa oleh calon sebagai hidangan kepada pengundi tempat mereka," katanya.

Sementara itu, katanya, kaji selidik dilakukan pihaknya menunjukkan rata-rata responden menyebut bahawa berlaku penyesalan apabila membuat penolakan calon BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Justeru, beliau yakin trend pengundi di Melaka pada PRU14 berubah dan akan kembali menyokong BN demi kestabilan politik dan keharmonian negeri berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Oktober 2021 @ 11:24 PM