Foto hiasan
Foto hiasan
Nuraliawati Sabri

Melaka: Penganjur sidang media Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dikompaun selepas didakwa tidak mematuhi arahan polis untuk tidak meneruskan sesi sidang media di Bangunan Stadthuys di sini, hari ini.

Kompaun sebanyak RM4,000 dikeluarkan polis selepas sidang media yang diadakan Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mengumumkan parti itu akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November nanti.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, pihaknya mengesan beberapa individu berpakaian dengan tulisan perkataan 'MUDA' dan kemudiannya berjumpa dengan seorang lelaki yang mengaku penganjur sidang media ketika polis menjalankan tugasan pematuhan prosedur operasi standard (SOP)

Menurutnya, selepas mengambil butiran penganjur berusia 20 tahun itu yang bekerja sebagai ejen insurans, pegawai polis menasihatkan agar dia menghentikan program kerana SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4 melarang apa-apa program berkaitan PRN Melaka bermula 25 Oktober sehingga 27 November dan aktiviti yang boleh menyebabkan orang ramai hadir di suatu tempat.

"Tetapi individu berkenaan tidak memberi kerjasama dan meneruskan sidang media terbabit.

"Pada 1.10 tengah hari, Syed Saddiq tiba dihadapkan Bangunan Stadthuys dan memulakan sidang media berkaitan PRN Melaka," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, sidang media itu menyebabkan kehadiran orang ramai berkumpul yang dianggarkan antara 30 hingga 40 orang.

"Polis kemudiannya memanggil penganjur untuk hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah dan kemudiannya memaklumkannya sudah melakukan kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPDBP) (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (Pelan Pemulihan Negara) 2021," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Oktober 2021 @ 8:06 PM