Foto hiasan
Foto hiasan
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Penjualan aset gas milik Petronas di Azerbaijan adalah sebahagian daripada usaha penilaian semula aset dan portfolio perniagaan yang dilaksanakan secara berterusan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan penilaian komersial jangka panjang dan pemampatan kos bagi menjamin daya tahan serta kecemerlangan operasi syarikat itu.

Menurutnya, langkah terbabit perlu diambil bagi mengekalkan kedudukan kewangan yang kukuh.

"Keputusan yang diambil oleh Petronas adalah bertepatan dengan strategi kumpulan syarikat itu untuk memastikan portfolio huluan yang berfokus, berdaya saing dan mampan.

"Aset di Azerbaijan dikenal pasti sebagai antara aset untuk dijual sejak 2019 lagi, namun proses jualan mengambil masa untuk memastikan harga penjualannya dapat memberikan nilai yang wajar dan berpatutan.

"Penjualan aset itu juga selari dengan strategi tiga serampang Petronas iaitu memaksimumkan penjanaan aliran tunai, mengembangkan perniagaan teras dan menceburi sektor perniagaan baharu," katanya.

Beliau menjawab usul Ahli Parlimen Port Dickson yang juga Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai isu penjualan aset gas Petronas di Azerbaijan dengan harga hampir RM10 bilion di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Anwar mendakwa penjualan aset itu dibuat berikutan desakan kerajaan menaikkan bayaran dividen Petronas sebanyak RM25 bilion pada tahun ini.

Mengulas lanjut, Mustapa berkata, penjualan aset Azerbaijan sama sekali tidak berkait secara langsung atau tidak langsung dengan keperluan membayar dividen kepada kerajaan.

Menurutnya, kelulusan bayaran dividen RM18 bilion pada Februari lalu adalah berdasarkan prestasi dan pasaran pada tahun 2020 berakhir Disember selepas lembaga syarikat memastikan kemampuan dan secara selesa dapat membiayai kos operasi, kos pinjaman serta membuat pelaburan semula bagi menyokong strategi pertumbuhan jangka masa panjang.

"Jumlah ini adalah lebih rendah daripada tahun sebelumnya oleh kerana impak daripada pasaran yang amat lemah dan harga minyak mentah global rendah akibat daripada pandemik Covid-19.

"Kelulusan dividen tambahan RM7 bilion sudah dibuat pada Julai lalu berdasarkan kemampuan dan unjuran prestasi pasaran minyak yang lebih baik bagi tahun ini," katanya.

Justeru, beliau menolak sekeras-kerasnya andaian Anwar bahawa terdapat hubung kait antara penjualan aset dengan keperluan membayar dividen.

Selain itu, beliau berkata, Petronas meraih keuntungan bersih lebih tinggi RM9.3 bilion pada suku pertama tahun ini berbanding RM4.5 bilion dicatatkan pada suku yang sama tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Oktober 2021 @ 6:32 PM