NORHIZAM. FOTO Arkib NSTP
NORHIZAM. FOTO Arkib NSTP
Amir Mamat

Melaka: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee memaklumkan dia dan tiga lagi bekas ADUN lain jarang berhubung selepas menarik sokongan terhadap kerajaan Melaka, awal bulan ini.

Beliau sebaliknya mendakwa lebih menumpukan kepada usaha kebajikan untuk penduduk dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu.

"Kami jarang berhubung dan buat hal masing-masing saja. Buat masa ini saya masih sibuk dengan pelbagai kegiatan kebajikan khusus untuk penduduk Pengkalan Batu termasuk menghulurkan bantuan serta menyelesaikan masalah rakyat.

"Saya tetap melakukan aktiviti kebajikan walau pun tidak lagi bergelar wakil rakyat. Masalah air yang dihadapi penduduk juga saya selesaikan.

"Saya sudah biasa buat kerja untuk rakyat khususnya dalam kawasan Pengkalan Batu. Soal politik saya tak fikir sangat, yang penting adalah kebajikan rakyat sentiasa dijaga," katanya tadi.

Beliau turut mengesahkan akan membuat satu pengumuman khas berkaitan masa depan politiknya, termasuk kedudukannya dalam dalam Pilihan Raya Negeri (PRN), minggu depan.

Katanya, setakat ini beliau masih mempertimbangkan beberapa cadangan daripada beberapa pihak, termasuk rakan politiknya.

"Banyak media menghubungi saya untuk mengetahui perkembangan. Saya katakan belum tiba masanya lagi. Tunggu minggu depan, sebelum penamaan calon saya akan buat pengumuman," katanya.

Minggu lalu, mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) diadakan bagi membincangkan mengenai PRN Melaka termasuk hasrat empat ADUN berkenaan yang dikatakan mahu bertanding atas tiket PH.

Hasrat mereka sebelum ini bagaimanapun ditolak DAP yang tidak mahu menerima Norhizam berikutan bertindak menyokong gabungan politik baharu di Melaka sehingga menyebabkan PH tumbang di negeri itu sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Oktober 2021 @ 6:03 PM