PURATA kandungan ‘acrylamide’ dalam biskut keluaran jenama Hup Seng, Jacobs dan Julie’s yang dikilangkan di Malaysia adalah 246 mikrogram per kilogram (μg/kg).
PURATA kandungan ‘acrylamide’ dalam biskut keluaran jenama Hup Seng, Jacobs dan Julie’s yang dikilangkan di Malaysia adalah 246 mikrogram per kilogram (μg/kg).
Noor Atiqah Sulaiman

Putrajaya: Purata kandungan 'acrylamide' dalam biskut keluaran jenama Hup Seng, Jacobs dan Julie's yang dikilangkan di Malaysia adalah 246 mikrogram per kilogram (μg/kg) iaitu di bawah paras yang ditetapkan oleh European Union (EU) Commission Regulation iaitu 350 μg/kg.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) turut menjalankan penilaian risiko ke atas acrylamide dan 'glycidol' dalam makanan dan ia menunjukkan risiko kesihatan terhadap acrylamide dan glycidol melalui pengambilan biskut adalah rendah.

Kata beliau, pemantauan terhadap biskut berkenaan sudah dijalankan oleh BKKM Kementerian Kesihatan (KKM) sejak 2015.

"Menurut International Agency for Research on Cancer (IARC), acrylamide dan glicidol adalah bahan karsinogen dan boleh memberi risiko kepada kesihatan manusia.

"Acrylamide adalah bahan pencemaran yang boleh terhasil semasa pemprosesan atau penyediaan makanan. Namun, bahan pencemaran berkenaan boleh dikawal melalui pemilihan bahan mentah dan proses yang bersesuaian.

"Berikutan itu, pengguna boleh mendapatkan panduan pencemaran acrylamide dalam makanan daripada Facebook (FB) rasmi BKKM. KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna," katanya pada kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, pengguna juga boleh mendapatkan panduan di http://moh.spab.gov.my atau FB BKKM di www.facebook.com/bkkmhq jika terdapat isu berkaitan keselamatan makanan.

Sebelum ini, Majlis Pengguna Hong Kong (HKCC) dalam laporannya pada minggu lalu mendapati bahawa 60 sampel biskut dan keropok yang diuji mengandungi elemen mendorong barah seperti seperti glycidol atau acrylamide.

Badan pengguna itu juga mendapati bahawa 40 peratus produk yang dianalisis mempunyai label nutrisi mengelirukan.

Jenama yang disenaraikan termasuk biskut Hup Seng, Jacobs dan Julie's yang dikilangkan di Malaysia.

Bagaimanapun, Hup Seng Perusahaan Makanan (M) Sdn Bhd, anak syarikat Hup Seng Industries Bhd pada kenyataan Ahad lalu, memberi jaminan bahawa biskut yang dikeluar dan dipasarkan di Malaysia selamat untuk dimakan, selain menepati kawal selia, standard kualiti dan keselamatan makanan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Oktober 2021 @ 5:36 PM